Oleh kerana cerita atau pe­ngalaman tentang kerugian saham ini selalu didengar atau diberitahu, maka ia perlu dititikberatkan dan mencari jalan penyelesaian. Kita tidak terlepas daripada mengalami kerugian dalam sesuatu pelaburan kerana setiap pelaburan mempunyai risiko tersendiri.

Sesuatu pelaburan itu boleh jadi untung atau rugi termasuk juga pelaburan dalam pasaran saham, justeru, untuk mengelakkan atau mengurangkan kerugian yang berlaku, pengalaman daripada mereka yang pernah melaluinya perlu dijadikan panduan dan pengajaran.

Tertarik harga murah

Selain daripada kerugian yang dilakukan pelabur baharu iaitu membeli waran saham syarikat tersenarai hampir tamat tempoh disebabkan tertarik pada harga terlalu murah, sebenarnya terdapat beberapa lagi kesilapan menjurus kepada kerugian dalam pelaburan saham.

Ini termasuk juga pelabur yang tidak mengetahui sesuatu saham syarikat telah diwartakan untuk dinyah senarai daripada Bursa Malaysia. Sebelum sesuatu saham dinyahsenarai, ia akan diwartakan terlebih dahulu untuk diklasifikasikan di bawah PN17. Saham-saham ini juga telah ditandakan dalam platform urus niaga.

Memberi tumpuan dengan membeli terlalu banyak saham penny (saham yang di bawah RM1) disebabkan harga terlalu murah walaupun terdapat pelabur yang mempunyai mo­dal pelaburan besar.

Biasanya harga murah ini terdapat pada saham penny dan waran. Pelabur baharu didapati seolah-olah tidak berminat membeli saham syarikat dalam kategori saham mewah atau yang mempunyai asas kukuh. Contoh saham mewah ini ialah saham-saham berkaitan indeks iaitu yang menggerakkan indeks pasaran FBM KLCI sama ada jatuh atau naik.

Ini disebabkan harga saham-saham berkaitan indeks ini agak mahal dibandingkan dengan saham-saham penny. Kita boleh lihat perbezaan harga saham-saham perbankan contohnya ada harga mencecah RM5 dan RM9 sesaham berbanding saham penny yang boleh dibeli pada harga kurang daripada 10 sen.

Lihat kekuatan syarikat

Saham penny ini bukan tidak boleh dibeli tetapi pelabur perlu membuat kajian dan semakan ke atas penyata kewangan syarikat tersebut. Ini termasuk penggiliran sektor yang mendominasi gelanggang saham-saham cergas dan untung.

Pelabur tidak boleh sewenang-wenangnya membeli saham tanpa melihat kepada kekuatan sesebuah syarikat dari segi fundamental kerana ditakuti terbeli syarikat-syarikat yang mengalami banyak masalah dalaman dan laporan kewangan tidak menarik. Inilah yang merupakan faktor utama menjauhkan atau menarik minat pelabur untuk membeli atau melupuskan pegangan saham.

Portfolio pelaburan yang baik perlu diseimbangkan dengan adanya sebahagian saham-saham syarikat yang kukuh dan bukan terdiri daripada kese­muanya saham penny atau waran syarikat disebabkan mempunyai tarikh luput.

Sektor-sektor pilihan saham yang ingin dibeli juga perlu diberi tumpuan. Cikgu Saham pernah ditunjukkan satu portfolio daripada seorang pelabur baharu yang portfolio pelaburannya hanya dipenuhi dengan saham penny dan waran sahaja.

Seorang lagi pengikut Facebook Cikgu Saham pula menunjukkan portfolio yang dipenuhi dengan saham-saham daripada satu sektor sahaja iaitu daripada sektor minyak dan gas (O&G).

Jangan bergantung satu sektor

Membeli hanya satu sektor sahaja juga merupakan satu tindakan yang kurang bijak kerana ditakuti sekiranya sektor tersebut mengalami masalah atau krisis, sudah tentu ia akan memberi kesan kepada nilai keseluruhan portfolio pelaburan.

Kita ambil satu contoh iaitu sektor O&G yang mengalami krisis kejatuhan harga pasaran minyak mentah dunia pada 2014. Ia menyebabkan banyak syarikat O&G terlibat menerima impak negatif iaitu kemerosotan pendapatan yang telah mengubah penyata kewangan syarikat-syarikat itu.

Dari segi jangka panjang di­sebabkan kemerosotan pendapatan daripada hasil minyak dan gas ini, terdapat syarikat tersenarai berkaitan O&G me­ngalami kemerosotan harga saham sehingga akhirnya ada yang dikategorikan sebagai saham di bawah PN17 dan bakal dinyah senarai daripada Bursa Malaysia.

Kita sambung lagi topik ini pada minggu hadapan.