Kesilapan di dalam pela­buran saham merupakan lumrah bagi seseorang pelabur dan pedagang saham yang baharu mula menjinakkan diri dalam dunia saham lebih-lebih lagi yang tidak pernah mendapatkan pendidikan saham secara formal atau tidak pernah mendapat nasihat daripada orang yang berkelayakan serta diiktiraf.

Juga, bagi yang telah memasuki kelas atau bengkel saham, kesilapan masih tetap berlaku kerana tindakan mereka tidak dipantau atau diawasi oleh pakar-pakar atau penasihat yang bertauliah sepanjang mereka melakukan urus niaga beli dan jual saham.

Namun, pembaca tidak perlu risau atau merasa gusar kerana saya akan membantu anda sedikit sebanyak sebagai panduan untuk mengelakkan daripada membuat kesilapan tersebut.

Berikut adalah beberapa contoh kesilapan atau kesalahan yang kerap dilakukan oleh pelabur dan pedagang saham:

Terbeli saham syarikat yang berada di dalam kategori PN17 kerana terlepas pandang untuk selidik status kewangan syarikat tersenarai.

Untuk mengelakkan daripada terbeli saham-saham syarikat yang berpotensi menjadi saham-saham di bawah PN17 ialah perlu mengelakkan diri daripada membeli syarikat-syarikat tersenarai yang meng­alami kerugian. Pastikan anda menyemak status kewangan syarikat dan jangan pandang ringan jika sesuatu berita tentang kerugian syarikat telah diumumkan.

Membeli dan menyimpan saham terlalu lama sehingga mencecah melebihi tempoh masa setahun yang mana harga saham semakin turun serta tidak memberikan apa-apa faedah atau peruntukan. Contohnya dari segi pembayaran dividen.

Semak syarikat-syarikat tersenarai tentang pembayaran dividen tahunan kepada pemegang saham. Syarikat tersenarai yang menca­tatkan kerugian dalam penyata kewangan tidak berupaya membayar dividen kepada pemegang saham. Juga, pastikan pembayaran di­viden tersebut tidak kurang daripada lima peratus setahun.

Sejurus menjual saham yang telah dibeli dan disimpan sekian lama, harga saham tiba-tiba naik dengan banyak dan pelabur saham tidak berani untuk membelinya semula kera­na harga saham tersebut tidak lagi turun seperti pada waktu membeli saham tersebut.

Untuk mengelakkan perkara ini terjadi, anda digalakkan belajar membaca carta pergerakan saham serta menyemak status kewangan syarikat tersenarai atau membuat sedikit kajian fundamental syarikat tersebut. Kemungkinan pada masa anda menjual saham syarikat tersebut, syarikat menjana keuntungan berganda atau mencatatkan keuntungan setelah berada dalam status kerugian pada tahun-tahun sebelumnya.

Membeli saham bersandarkan saranan orang yang tidak diketahui asal usul atau daripada individu yang tidak dikenali dan tiada testimoni atau bukti transaksi saham yang dibuat.

Anda digalakkan tidak bersandar 100 peratus kepada maklumat saham daripada orang lain atau mana-mana sumber yang tiada rujukan kerana maklumat saham boleh dicari sendiri daripada pelbagai sumber. Sumber tersebut sama ada diperoleh di internet, platform dagangan saham, rumah penyelidikan syarikat broker saham dan banyak lagi.

Tidak membuat kajian terperinci setelah membaca artikel saham.

Jangan membuta tuli bertindak tanpa menyemak dan membuat kajian apa yang didengar dan dibaca. Dunia tanpa sempadan kini memerlukan kita berwaspada kerana tidak semua yang didengar, dilihat dan dibaca itu sahih lagi benar. Banyak cerita-cerita dan maklumat palsu yang disebarkan.

Menggunakan semua wang yang ada untuk berurus niaga saham.

Harus diingatkan, melabur saham hanya dengan wang yang berlebihan. Bukan wang kegunaan harian atau wang tabung kecemasan. Juga, bukan wang yang dipinjam dari bank seperti pinjaman periba­di kerana harga saham boleh jadi naik cepat dan juga lambat.

Sekiranya harga saham yang dibeli itu naik lambat, ia akan membebankan peminjam untuk membuat bayaran bulanan serta faedah bulanan ke atas pinjaman tersebut.

Peka dengan apa-apa peng­umuman atau berita-berita syarikat tersenarai.

Satu daripada berita yang juga mempengaruhi harga saham ialah pengumuman Majlis Penasihat Syariah (MPS) ke atas sesuatu saham syarikat tersenarai.

Jika dirumuskan, untuk melibatkan diri dalam pelaburan saham perlu ada ilmu dan maklumat yang betul serta modal pelaburan yang sesuai yang merupakan lebihan dari komitmen bulanan.