Pada zaman ketiadaan urus niaga saham secara dalam talian, ejen atau remisier kerap membuat kesilapan semasa meletakkan pesanan jual dan beli. Beberapa contoh kesilapan tersebut seperti berikut:

#Tersilap dengar nama saham syarikat yang seakan-akan sama.

#Tersilap kod pelanggan atau nama pelanggan sebenar yang memberi arahan jual atau beli.

#Tersilap meletakkan jumlah unit saham yang ingin dijual kerana semasa itu tiada sistem yang mengesan jumlah saham yang berada di dalam portfolio pelanggan pada saat ingin menjual saham.

Setelah Central Depository System (CDS) dilaksanakan serta adanya pilihan untuk membuat urusan jual dan beli saham secara dalam talian, maka kesilapan tersebut telah berkurangan atau hampir tiada lagi. Tetapi ia berlaku juga sama ada oleh ejen atau remi­sier serta pelabur dan pedagang saham yang membuat urus niaga saham secara dalam talian.

Kesilapan yang sangat keta­ra ialah sewaktu berlakunya aktiviti penyusutan atau pe­ngurangan modal (capital reduction) pada sesuatu saham syarikat tersenarai.

Contohnya, selepas berlaku penyusutan modal syarikat ABC, jumlah asal unit saham daripada 10,000 unit menyusut menjadi 1,000 unit. Dan semasa berlakunya aktiviti ini, harga saham akan berubah. Contoh, harga sebelum berlaku penyusutan modal untuk 10,000 unit saham ialah 20 sen dan setelah saham menyusut menjadi 1,000 unit, harga ialah RM1.

Ramai pelabur keliru apabila melihat portfolio pelaburan mereka. Mereka menyangka bahawa saham syarikat yang dibeli dengan harga 20 sen dengan jumlah 10,000 unit telah menjadi RM1. Jika dikira, jumlah modal RM2,000 telah menjadi RM20,000. Justeru, pada hari berlakunya penyusutan modal dan perubahan harga pada tarikh pelaksanaan (ex-date), ramai yang mengambil kesempatan menjual ke­semua saham tersebut dengan anggapan mereka telah memperoleh keuntungan sebanyak RM18,000.00. Contoh ini berdasarkan pada nisbah 10:1 iaitu saham yang jumlah asal 10,000 unit saham akan menyusut menjadi 1,000 unit saham.

Di dalam artikel yang lepas, saya kerap menekankan perlunya memantau dan mengambil tahu portfolio pelaburan saham, perkembangan semasa pasaran saham, pengumuman atau berita-berita syarikat tersenarai dan sebagainya.

Oleh kerana ramai yang tidak tahu dan tidak peka tentang hal ini, maka kesilapan demi kesilapan dilakukan oleh pelabur dan pedagang saham. Justeru, agak payah untuk pelabur dan pedagang saham membuat keuntungan secara konsisten kerana sering kali membuat kesilapan demi kesilapan yang merugikan.

Apakah risiko anda jika telah melakukan kesilapan ini?

Jika kita tersilap jual saham yang telah mengalami proses penyusutan modal, pemegang akaun CDS akan dikenakan de­nda. Denda ini dinamakan buy-in atau belian paksa iaitu saham yang telah dijual akan dibeli untuk menggantikan semula unit saham yang tiada. Sebagai contoh di atas tadi, jumlah saham telah menjadi 1,000 unit tetapi kita telah menjual 10,000 unit. Beza 9,000 unit itu akan dibeli dalam transaksi buy-in oleh pihak broker saham.

Transaksi belian paksa ini dilakukan sebelum pasaran dibuka pada sesi pagi bermula pukul 8.30 pagi. Pelabur saham boleh menyuruh dealer atau remisier untuk menjual saham yang dikenakan belian paksa ini sekiranya mereka mempunyai saham syarikat sama yang akan dikenakan belian paksa ini.

Sebagai contoh, pelabur A telah didenda dan dikenakan belian paksa dan pelabur B mempunyai saham tersebut di dalam portfolio pelaburan beliau. Dealer atau remisier boleh memberitahu pelabur B tentang saham yang akan dikenakan belian paksa tersebut untuk menjualnya kerana beza harga adalah berbeza daripada harga penutup semalam. Harga belian paksa ini lebih tinggi daripada harga tutup semalam.

Sebagai contoh, harga tutup semalam ialah RM1 tetapi harga belian paksa ini ialah pada RM1.10. Pelabur A telah rugi 10 sen kerana menjual pada harga RM1 dan melalui proses belian paksa pada harga RM1.10 tetapi pelabur B menjual pada harga RM1.10. Sekiranya pasaran dibuka pada pukul 9 pagi dan pada pukul 9.01 pagi, harga masih sama atau naik 1 sen menjadi RM1.01, pelanggan B mendapat keuntungan 9 sen ia­itu beza harga jual dan beli tadi.

Kita sambung topik ini di minggu hadapan.