Naib Presiden dan Penganalisis Kanan Moody’s Investors Service, Simon Chen berkata, walaupun memiliki asas kukuh, pihak berkuasa berdepan cabaran untuk meningkatkan langkah membangunkan sektor itu.

Katanya, bank-bank Islam di Malaysia mempunyai asas modal yang lebih kecil daripada bank konvensional, walaupun ia menyumbang sebahagian besar daripada jumlah aset perbankan.

“Ia berikutan jurang modal antara kedua-duanya lebih luas dalam pasaran perbankan Islam yang lebih kecil di ASEAN seperti Indonesia,” katanya dalam laporan terkini mengenai perbankan Islam di sini.

Laporan itu turut menyatakan Malaysia menyasarkan untuk meningkatkan bahagian aset perbankan Islam daripada jumlah aset perbankan kepada 40 peratus menjelang 2020 berbanding 32 peratus pada akhir Ogos 2018.

Indonesia berusaha untuk meningkatkan kadarnya kepada 15 peratus menjelang 2023 berbanding enam peratus pada akhir Julai 2018.

Manfaat daripada penduduk yang kukuh, terutamanya dalam kumpulan umur utama di negara-negara ASEAN yang majoriti Islam akan membawa kepada pengembangan asas pelanggan teras, selain memacu penggunaan domestik dan permintaan sektor swasta untuk perkhidmatan perbankan dan kredit.

Simon berkata, ekonomi ASEAN mempunyai asas yang kukuh untuk memudahkan pertumbuhan perbankan Islam, dengan pengawal seliaan yang sesuai dilaksanakan.

“Pada masa ini, Malaysia dan Indonesia giat melaksanakan usaha pengawal seliaan ke arah perbankan Islam dan ini akan memacu pertumbuhan di rantau ini yang mempunyai penduduk Islam yang ketara.

“Di ASEAN, penduduk turut berkembang pesat dengan persekitaran ekonomi baik dan asas yang kukuh, bank-bank dapat terus mengembangkan perkhidmatan patuh syariah,” katanya.