Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Datuk Zahrah Abd. Wahab Fenner berkata, jumlah kerugian itu berdasarkan tindakan pe­nguatkuasaan suruhanjaya tersebut bersama beberapa agensi penguatkuasaan lain di samping aduan daripada mangsa peni­puan pelaburan haram yang ditawarkan dalam tempoh tersebut.

“Sebanyak 10 jenis pelaburan haram terkini yang disiasat oleh SSM bersama agensi penguatkuasaan lain iaitu penawaran pelaburan e-Money (tanpa pro­duk) yang mencatatkan kerugian tertinggi sebanyak RM700 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas perasmian Karnival Youngpreneurs, Go! (YPGO) yang disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Jamil Salleh di Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Muadzam Shah di sini hari ini.

Yang hadir sama Naib Canselor Uniten, Prof. Datuk Dr. Ir. Kamal Nasharuddin Mustapha.

Sempena majlis itu, kempen #scamalert2018 bagi mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat berkaitan pelaburan haram turut dilancarkan.

Menurut Zahrah, pihaknya menerima sebanyak 227 aduan berkaitan pelaburan haram dengan 26 kes di bawah bidang kuasa SSM.

Sehingga kini, kata beliau, hanya 205 skim pelaburan pelbagai jenis yang berdaftar dengan SSM orang ramai diminta supaya lebih peka dengan membuat semakan terlebih dahulu sebelum menyertainya.

Tambah beliau, pihaknya memandang serius isu kes pelaburan haram dan berusaha menanga­ninya dengan melancarkan kempen #scamalert2018.

“Menerusi kempen ini, kita cuba mendidik masyarakat de­ngan memaparkan video-video berkaitan pelaburan haram di media sosial seterusnya ke saluran te­levisyen,” ujarnya.

Sementara itu, Jamil ketika berucap berkata, kempen #scamalert2018 dilaksanakan setelah mengambil kira isu-isu pelaburan haram yang berleluasa sejak ke­belakangan ini.

“SSM akan menyebarkan maklumat dan ciri-ciri pelaburan ha­ram. Kempen ini juga sebagai salah satu usaha untuk memastikan masyarakat tidak terjebak dengan pelaburan haram sekali gus mendidik orang awam untuk melabur dalam pelaburan yang sah dan diiktiraf kerajaan,” ­katanya.