Caj tambang yang lebih rendah juga telah menyusutkan hasil sebanyak 4.2 peratus kepada RM1.08 bilion daripada RM1.12 bilion, kata syarikat pe­nerbangan tambang rendah itu.

Kerugian asas sesaham adalah pada 4.80 sen daripada 1.00 sen.

Syarikat itu da­lam satu makluman kepada Bursa Malaysia semalam berkata, ia berhadapan dengan cabaran kenaikan harga minyak baru-baru ini dan usaha sedang dibuat bagi mengurangkan kesan berkenaan me­lalui peningkatan kapasiti dan pendapatan sokongan.

“Struktur tambang baharu telah dibuat dan syarikat secara aktif sedang memacu pendapatan sokongan, ini akhirnya akan meningkatkan hasil, pihak pengurusan juga membuat pemantauan ke atas perbelanjaan operasi untuk meraih kecekapan kos yang lebih baik bagi mengimbangi ketidaktentuan harga minyak,” katanya.

Syarikat menjangkakan kos operasi ex-fuel akan menjadi lebih rendah pada suku tahun berikutnya, selepas inisiatif penjimatan kosnya menjadi kenyataan, khususnya melalui kadar pajakan pesawat serta pengendalian lapangan terbang di luar negara yang lebih rendah termasuk pembukaan si­nergi rangkaian operasi de­ngan syarikat penerbangan jarak dekat yang menjadi sekutu.

Bagi menangani keperluan permintaan yang semakin bertambah di rantau Asia Pasifik, AirAsia X Malaysia merancang untuk meningkatkan saiz armadanya dengan dua buah pesawat melalui operasi pajakan pada 2018.

Satu daripada dua pesawat yang dipajak telah tiba pada September lepas. AirAsia X Thailand menjangkakan tambahan dua pesawat menjelang akhir tahun ini.

Syarikat juga aktif dalam memantau kemajuan semua syarikat penerbangan bersekutu dan usaha sama bagi memastikan prestasi yang lebih positif. Ia meramalkan AirAsia X Thailand akan terus untung sepanjang tahun ini.

“Kami menjangkakan operasi di Indonesia akan kekal mencabar dan akan menamatkan penerbangan berjadual pada Januari 2019. Pada masa hadapan, AirAsia X Indonesia akan memulakan perkhidmatan penerbangan tidak berjadual,” katanya.– BERNAMA