Memandangkan Shinsegae Food juga adalah pembekal makanan rasmi untuk Olimpik Musim Sejuk 2018, gandingan itu bakal menyaksikan hidangan halal buat pertama kalinya disajikan dari dapur Olimpik PyeongChang, Korea Selatan.

Usaha itu akan diterajui Chef Eksekutif Shinsegae Mamee, Faizul Hazly Ghazali yang juga Chef Eksekutif Mamee. Makanan halal di temasya itu akan disediakan mengikut piawaian halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Selain menitikberatkan aspek ruang dapur berasingan untuk penyediaan makanan halal, aspek penyimpanan, membasuh serta kutleri dengan penggunaan tray berasingan untuk makanan halal turut diberi perhatian.

Pengarah Bahagian Hab Halal JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, penglibatan Jabatan berkenaan dalam gandingan itu bukan sahaja turut membawa 'bendera' halal Malaysia ke peringkat antarabangsa tetapi juga menempatkan negara ini sebagai peneraju halal global.

Tidak sekadar menjadi penanda aras bahawa Mamee adalah antara industri yang dipersijilkan halal dan komited dalam persijilan halal Malaysia, langkah itu juga bertujuan memastikan makanan yang akan disajikan kepada seramai 170 perwakilan Islam pada temasya itu terjamin status halalnya.

"Usahasama ini meluaskan sempadan halal Mamee bersama pihak Shinsegae Food di Korea untuk berkongsi pengalaman bagi memudahkan pengguna khususnya umat Islam di Korea serta seluruh dunia menghadapi acara bersejarah itu yang dijadual berlangsung dari 9 hingga 25 Feb nanti.

"Ia juga secara tidak langsung memberi gambaran kepada dunia luar bahawa Malaysia sentiasa mengamalkan dasar 'pintu terbuka' kepada mana-mana pihak serta industri di peringkat antarabangsa untuk turut serta dalam industri halal. Ini termasuk industri makanan serta produk lain yang memerlukan sijil halal JAKIM," katanya kepada pemberita selepas sidang akhbar mengenai penglibatan Malaysia dalam Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang 2018, di sini. - BERNAMA