Pengerusi Zhejiang Geely, Li Shufu (gambar) berkata, ekonomi China berada pada fasa peralihan yang penting dan syarikat, sebagai syarikat pembuatan kereta multinasional China, terlibat secara aktif dalam OBOR.

“Pada Jun 2017, Zhejiang Geely menandatangani perjanjian dengan Proton dan perjanjian itu dijangka dimuktamadkan pada akhir bulan ini. 
“Ini merupakan contoh syarikat meneruskan inisiatif OBOR, terutamanya dalam pembangunan kereta dan infrastruktur,” katanya kepada media dari lebih 120 negara pada Forum Kerjasama Media mengenai OBOR 2017 di sini Selasa lalu.

Kumpulan akhbar terbesar China, The People's Daily, menganjurkan forum tersebut.
 Shufu berkata, meneroka global adalah penting tetapi lebih pen­ting untuk membangunkan budaya korporat.

“Kunci kepada perkara itu adalah integrasi, keterangkuman dan budaya terbuka,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif pembangunan perniagaan bukan hanya mengenai keuntungan tetapi turut melibatkan nilai sosial dan tanggungjawab sosial korporat.

Pada Jun 2017, syarikat induk Proton, DRB-Hicom Bhd. menandatangani Perjanjian Definitif dengan Zhejiang Geely, konglomerat kereta China, bagi menjual 49.9 peratus pegangannya dalam Proton.

Kerjasama strategik itu akan meningkatkan pengeluaran kereta Proton ke peringkat global, termasuk di Asia Tenggara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini berkata, kerjasama DRB-Hicom-Zhejiang Geely akan menyaksikan Proton menjadi hab pengeluaran global bagi model kereta pemanduan kanan syarikat China itu dan memacu pengeluar kereta nasional itu mencapai kejayaan yang lebih besar dan masa depan yang terjamin.

Perjanjian tersebut merangkumi tujuh bidang kerjasama strategik yang termasuk Proton mempunyai hak eksklusif kepada produk dan teknologi terkini Zhexiang Geely di rantau ini dan akses melepasi pasaran Asia Tenggara dan China.

Di bawah perjanjian itu, operasi penyelidikan dan pembangunan Zhexiang Geely Proton akan menjadi Pusat Kecemerlangan Geely di ASEAN, melengkapkan pelbagai tapak operasi lain di seluruh dunia.

Malaysia juga akan menjadi hab kereta pemanduan kanan bagi kenderaan Zhexiang Geely di rantau ini.

Langkah ini akan memastikan kapasiti kilang moden di Tanjung Malim digunakan sepenuhya dan ini akan mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada penduduk tempatan. – BERNAMA