KUALA LUMPUR 27 Mac – Kementerian Kerja Raya (KKR) sedia mempertimbangkan pemberian insentif bagi syarikat pembinaan yang mengguna pakai Sistem Binaan Berindustri (IBS) dalam projek pembinaan mereka.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kementeriannya terus berusaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan pemain industri untuk menggunakan sistem teknologi terkini terutamanya IBS dan Permodelan Maklumat Bangunan (BIM).
“Sudah tentu kami akan melihat kepada pemberian insentif tetapi apa yang penting adalah untuk meningkatkan jumlah penggunaan IBS.
“Ini kerana apabila jumlah penggunaan IBS meningkat, kita dapat mengurangkan kosnya,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Pembinaan Antarabangsa 2018 (ICW 2018) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Tan Sri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali, Pengerusi Bersama UBM Malaysia, Jeneral Tan Sri Panglima Mohamed Azumi Mohamed dan Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ir. Ahmad Asri Abdul Hamid.
Tambah Fadillah, dalam usaha meningkatkan penggunaan IBS di Malaysia, kementeriannya akan turut bekerjasama dengan kementerian-kementerian lain untuk memastikan setiap projek awam menggunakan sistem binaan tersebut.
“Kita telah mulakan dengan Kementerian Pelajaran dalam pembinaan sekolah-sekolah baharu dan ini akan diperluaskan ke kementerian lain,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru pemain industri agar memanfaatkan penggunaan teknologi terutamanya dalam menghadapi revolusi perindustrian 4.0 (IR 4.0).
“Industri pembinaan perlu berubah daripada cara kerja tradisional untuk terus kekal kompeten,” katanya.