Menurut The Edge Financial Daily, Kabinet telah memutuskan semalam, untuk merapatkan jurang kos bagi baki kerja-kerja bawah tanah, yang kini telah 39 peratus dilakukan oleh MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn. Bhd. (MMC Gamuda).

“Mereka akan kembali ke meja perundingan untuk menyelesaikan masalah ini. Pintu masih terbuka dan diharapkan tender baharu boleh dielakkan,’’ kata portal berita perniagaan itu hari ini.

Menurut portal itu lagi, empat menteri terlibat dalam pro­ses tersebut diketuai Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Tiga yang lain ialah Menteri Hal-Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

Selasa lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan mengkaji semula keputusan membatalkan kontrak bawah tanah MRT2 dengan MMC Gamuda.

MMC Gamuda merupakan sebuah syarikat usaha sama (JV) antara Gamuda Bhd. (Gamuda) dan MMC Corporation Bhd. (MMC Corp) dengan mandat untuk menyelesaikan projek MRT2.

Jurang kos itu dianggarkan sekitar RM2 bilion kerana MMC Gamuda telah menawarkan untuk mengurangkan RM2.13 bilion, namun Kementerian Kewangan menyasarkan sekurang-kurangnya RM4.19 bilion.

Semalam, MMC Gamuda dalam kenyataan berkata, syarikat itu tetap komited untuk perbincangan lanjut serta bekerjasama dengan Kementerian Kewangan untuk mencapai pengurangan kos.

“Ia adalah harapan kami bahawa kerajaan akan menjemput kami ke meja perundingan sebagai sebahagian daripada proses kaji semula, dan kami akan menggunapakai pendekatan buku terbuka dalam firma perundingan kejuruteraan antarabangsa.

“Firma itu akan mempunyai pengalaman dan rekod prestasi yang diperlukan dalam menilai kerja membuat terowong di seluruh dunia, sekali gus meneliti di mana penjimatan boleh diperolehi,” jelasnya.

MMC Gamuda turut menggesa semua pihak berkepentingan terutama kakitangan, subkontraktor dan pembekal untuk bertenang, bersabar dan mele­takkan kepercayaan kepada Perdana Menteri dalam rundingan semula itu.

“Permintaan kami sebagai balasan untuk pendekatan buku terbuka ialah hak harta intelek (IP) dan maklumat sensitif komersial kami dihormati dengan sewajarnya,” jelas syarikat itu.