Sebagaimana dinyatakan da­­lam jawapan bertulis di Dewan Rakyat akhir bulan lalu, keputusan untuk mengekalkan PLUS adalah disebabkan ke­ti­daktentuan serta risiko yang di­kaitkan dengan tawaran pe­ngambilalihan tersebut.

Selain itu, dengan keputusan muktamad Kementerian Kewangan tersebut, ia memastikan kesinambungan dividen yang mengalir kepada 14.5 juta penyumbang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ini bermakna tidak akan ada lagi gangguan kepada manfaat yang diraih mereka dan memastikan penyumbang terus mendapat dividen daripada 49 peratus ekuiti KWSP dalam PLUS.
Selain KWSP, UEM Group memiliki 51 peratus ekuiti dalam PLUS.

Keraguan mengenai keupayaan kewangan dalam pengambilalian itu ditimbulkan selepas Pengerusi Eksekutif Maju Holdings, Tan Sri Abu Sahid Mohamed membuat tawaran RM36 bilion untuk membeli semua lebuh raya PLUS.

Kerajaan sudah pastinya telah memberi pertimbangan kewangan terhadap tawaran yang sebegitu besar dan telah mengkajinya dengan teliti sebelum membuat keputusan tersebut.

Dan penganalisis kewangan dan bank sudah tentu mempunyai pendapat yang sama apabila mereka melihat kepada jumlah yang ditawarkan itu kerana ada sesuatu yang tidak kena.

penarafan

Sebagai contoh, cadangan itu menggunakan andaian dua pe­ratus sebagai kadar kupon bagi bon tersebut.

Bagaimanapun, hanya Khazanah Nasional Bhd. dan UEM boleh menggunakan kadar dua peratus kerana tiada sesiapa kecuali UEM dan Khazanah akan mendapat penarafan tiga A se­perti yang mereka miliki sekarang.

Mana-mana individu atau syarikat persendirian pasti akan mendapat penarafan lebih rendah AAB atau ABB, yang bermaksud dua kali ganda pembayaran faedah bagi bon tersebut.

Bon tersebut perlu dinilai semula dan mereka perlu membayar lebih.

Pengiraan secara kasar juga menunjukkan yang cadangan Maju Holdings untuk membekukan kadar tol adalah tidak munasabah.
Oleh itu, keputusan kerajaaan adalah tepat dalam melindungi kepentingan orang ramai serta penyumbang KWSP.

Kementerian Kewangan ada­lah betul dalam menuntut agar sebarang pengambilalihan PLUS mesti disokong oleh sumber kewangan yang jelas dan kukuh supaya ia boleh terus beroperasi walaupun terdapat kejutan ekonomi atau turun naik dalam pertukaran asing.

“Ini penting agar kerajaan tidak perlu menyelamat PLUS jika sesuatu yang tidak diingini berlaku,” kata kementerian tersebut dalam jawapan bertulis kepada Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan), yang menyoal mengenai keputusan itu berikutan tawaran RM36 bi­lion oleh Maju Holdings untuk mengambil alih semua lebuh raya PLUS.

“Berikutan risiko dan keti­daktentuan dalam perkara ini, kerajaan tidak mempunyai rancangan untuk melepaskan kepentingan PLUS kepada Maju Holdings,” katanya.

Adalah jelas, bagi mengelak daripada usaha menyelamat pada masa depan, kerajaan bertindak menutup pintu kepada sebarang rancangan mengambil alih PLUS. – BERNAMA