Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) MAB, Kapten Izham Ismail (gambar) berkata, pada Di­sember 2017 hingga Januari tahun ini menyaksikan perkembangan yang baik untuk syarikat penerbangan negara itu.

Namun menurut beliau, bulan-bulan akan datang seolah-oleh memberi gambaran yang sengit terutamanya untuk industri pe­nerbangan.

“Kita hanya akan dapat mengetahui berapa berita baik yang telah kita lakukan selepas suku kedua tahun ini.

“Dari situ kita akan mengenal pasti dan mencadangkan sama ada MAB telah bersedia untuk disenaraikan atau adakah pasaran telah bersedia menerima kehadiran MAB semula,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara Malaysia Aviation Group (MAG) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Yang turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, Pengerusi MAG, Tan Sri Md. Nor Yusof dan Ketua Pengarah AADK, Datuk Dr. Abdul Halim Mohd. Hussin.

Izham berkata, bagi tahun 2018 juga MAB akan memberi tumpuan kepada 40 daripada 700 program yang digariskan di bawah pelan pemulihannya.

“Fokus bagi tahun ini tertumpu ke arah tenaga kerja, perolehan, operasi, khidmat pelanggan dan juga keselamatan.

“Kami tidak akan bertoleransi terhadap kakitangan atau individu yang mengabaikan aspek keselamatan,” tegasnya.