Dyson yang diasaskan dan dimiliki oleh seorang usahawan yang lantang bersuara menyokong Brexit, James Dyson berkata, kilang pembuatan kereta elektrik itu dijadualkan siap pada 2020.

Ia adalah sebahagian daripada pelaburan global syarikat tersebut dalam membangunkan teknologi baharu dengan jumlah keseluruhan bernilai £2.5 bilion (RM13.49 bilion).

Syarikat itu yang terkenal di serata dunia dengan peralatan pembersih vakum tanpa wayar dan pengering tangan, menyasarkan untuk melancarkan kende­raan elektriknya pada 2021.

KEPAKARAN

“Keputusan di mana untuk membuat kereta ini adalah kompleks, berdasarkan kepada rantaian bekalan, akses pasaran dan ketersediaan kepakaran,” kata Ketua Eksekutif Dyson, Jim Rowan dalam kenyataan baru-baru ini.

“Kewujudan pasukan sedia ada Dyson di Singapura, digabungkan bersama kepakaran pembuatan yang sangat maju di negara itu menjadikannya sebagai negara pilihan buat Dyson.

“Singapura juga mampu untuk menawarkan akses kepada pasaran dengan pertumbuhan yang tinggi, rantaian bekalan yang luas serta tenaga kerja yang berkemahiran.

“Singapura adalah tempat per­niagaan dengan kos yang tinggi, tetapi lengkap dengan ke­pakaran dan fokus dalam teknologi. Ia adalah tempat yang tepat untuk membuat kende­raan elektrik,” katanya.

Syarikat itu ketika ini sudah mempunyai kemudahan pengeluaran di Malaysia dan Singapura.

Dyson mengumumkan keputusan untuk membuat kereta elektrik pada tahun lepas, satu sektor yang mana syarikat itu akan menghadapi persaingan sengit daripada pemain industri automotif.

POPULAR

Kenderaan elektrik semakin popular apabila kerajaan di seluruh dunia menggerakkan ran­cang­an untuk secara beransur-ansur mengurangkan penggunaan kenderaan petrol dan diesel.

Dyson memberitahu AFP dalam satu wawancara pada awal tahun ini bahawa kereta elektriknya sudah sedia untuk ditempah dan akan dibuat sama ada di Britain atau Asia.

Dyson yang menyokong kempen Britain untuk meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) berkata, beliau yakin EU dan Britain akan mencapai persetujuan dalam perdagangan bebas selepas Britain meninggalkan blok itu.

“Saya fikir ia akan memberi kesan kepada kedua-dua pihak sekiranya perkara itu tidak dilakukan,” kata beliau.

Syarikat itu pada 2017 menca­tatkan peningkatan keuntungan operasi hampir satu per tiga kepada kira-kira £800 juta (RM4.31 bilion), disokong oleh pertumbuhan pesat di China, India, Jepun, Korea Selatan dan Taiwan.

Pendapatan syarikat melonjak sehingga 40 peratus kepada £3.5 bilion (RM18.89 bilion).

Dyson menawarkan peluang pekerjaan kepada lebih 12,000 orang di seluruh dunia, terma­suk seramai 4,800 di Britain. – AFP