Ketua Negara J. D. Power, Muhammad Asyraf Mustafar berkata, peningkatan tersebut didorong oleh pencarian maklumat yang lebih intensif menerusi pelbagai sumber bagi mendapatkan tawaran terbaik.

Menurut beliau, pencarian menerusi laman web meningkat sebanyak empat peratus kepada 31 peratus berbanding 27 peratus pada tahun 2016.

“Pencarian utama para pelanggan adalah berkaitan harga, promosi dan pembiayaan diikuti oleh ciri-ciri dan spesifikasi kenderaan. Tiga laman web tertinggi yang se­ring dilawati adalah portal automotif, forum kereta dan pengedar.

“Sementara itu, pengetahuan berkaitan kereta juga semakin bertambah apabila 44 peratus pelanggan akan membuat perbandingan harga terlebih dahulu manakala 63 peratus lagi akan melawat pusat pameran yang terdekat bagi mendapatkan informasi lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Muhammad Asyraf menambah, para pelanggan kini sema­kin bijak apabila melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan terlebih dahulu sebelum memutuskan pembelian.

Jelasnya, keadaan itu menjadikan pengedar-pengedar ke­reta lebih proaktif dalam menyediakan khidmat pelanggan terbaik sekali gus menyumbang kepada peningkatan kepuasan dalam kalangan pelanggan.

Katanya lagi, kepuasan pe­langgan terhadap perbandingan dua buah model kereta yang dibuat oleh jurujual meningkat sebanyak 11 peratus.

“Selain itu, jurujual yang memberikan penerangan lanjut, menunjukkan katalog, demonstrasi pandu uji dan bertanyakan profil pelanggan juga membantu meningkatkan jumlah skor pada tahun ini.

“Berdasarkan jenama pengeluar pula, Toyata dan Isuzu berkongsi kedudukan teratas dengan 823 mata diikuti Nissan (814 mata), Honda (808 mata) dan Mazda (807 mata). Pengeluar kereta nasional Proton berada di bawah skor purata pasaran de­ngan 793 mata,” ujarnya.