A. K. Nathan
A. K. Nathan

Syarikat kejurute­ra­an dan perkhidmatan pembinaan itu mencatatkan perolehan keseluruh­an bernilai RM1.57 bilion untuk tempoh sama, merosot berbanding pencapai­an tahun 2015 iaitu RM1.78 bilion.

Daripada perolehan tersebut, 37.7 pe­ratus disumbangkan oleh projek di rantau Asia Barat, 24.7 peratus di Asia Tenggara dan 22.3 peratus lagi di India, manakala bakinya daripada segmen minyak dan gas.

Pengerusi Eksekutif dan Pe­ng­arah Urusan Kumpulan Eversendai Corporation, Tan Sri A. K. Nathan berkata, kerugian itu berpunca daripada kelembapan pemulihan industri minyak dan gas sekali gus merendahkan penggunaan kemudahan fabrikasi.

Selain itu katanya, kerugian terbabit juga berkait rapat dengan kemerosotan nilai wajar aset kewangan dan kos yang sema­kin meningkat menyebabkan penangguhan pembiayaan projek.

“Ini adalah kali pertama syarikat mencatatkan kerugian disebabkan oleh faktor-faktor dalaman dan luaran.

“Kumpulan telah mengenal pasti semua kelemahan dan sedang menyusun semula strategi dengan jangkaan keuntungan yang positif bermula suku pertama tahun ini,” katanya dalam taklimat media keputusan kewa­ngan Eversendai di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif Pejabat Pengarah Urusan Kumpulan, Cheah Ban Seng.

Sehingga hari ini, Eversendai telah berjaya memperoleh lapan projek bernilai RM801.4 juta hanya dalam tempoh dua bulan iaitu pada Disember 2016 dan Januari 2017.

Daripada jumlah itu, RM117.4 adalah sektor minyak dan gas, sekali gus membawa nilai tempah­an terkumpul buat kumpulan bernilai kira-kira RM3 bi­lion.

Jelas Nathan, dengan sebanyak 45 projek sedang dijalankan di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Qatar, Kuwait, Thailand, India, Singapura dan Malaysia, ia akan membantu kumpulan mencatatkan prestasi lebih positif.

Mengulas prospek masa depan, katanya, kumpulan yakin untuk mencatatkan hasil dan keuntungan lebih tinggi bermula suku pertama tahun ini dibantu oleh pemulihan industri minyak dan gas.

“Tahun lepas merupakan satu tempoh sukar buat kumpulan, namun kami yakin untuk mencapai sasaran, malah sedang be­kerja secara progresif dalam mengisy­tiharkan keuntungan untuk setiap suku,” katanya.