Semasa di kampung, saya sering mengikuti ayah mengurus kebunnya. Jadi kerja-kerja yang berkaitan dengan pertanian sudah biasa bagi saya.

Saya adalah graduan lepasan Universiti Malaysia Terengganu dalam Ijazah Agroteknologi (Teknologi Lepas Tuai) dan kemudian meneruskan pengajian di peringkat sarjana di Universiti Putra Malaysia dalam bidang Sains Haiwan.

Semasa pengajian inilah saya mendapat beberapa kerja yang berkaitan dengan bidang se­perti juruperunding untuk mereka yang ingin membela ayam. Kemudian sebagai pembantu penyelidik saya terdedah dengan persekitaran mereka yang membuat penyelidikan dan kadangkala perlu mengupah orang untuk mempercepatkan proses.

Daripada situ saya telah membuat pelbagai kerja yang boleh mendatangkan duit untuk menyara kehidupan.

Permulaan saya menceburi bidang perniagaan ini awalnya adalah bekerja di bawah orang dengan mengambil upah dahulu. Ada beberapa perkara yang tidak tahu saya akan bertanya dan mempelajari proses pembuatan kerja yang berkaitan.

Kemudian rezeki mencurah-curah datang, saya mendapat lebih banyak lagi kerja seperti ini antaranya kerja-kerja landskap, mengambil sampel tanah untuk kajian dan sebagainya.

Tapi ketika itu saya bekerja melalui syarikat yang mengupah saya untuk menjalankan kerja tersebut.

Daripada situ, saya mempelajari teknik untuk membuat kerja-kerja yang berkaitan dengan pertanian. Atas dasar ingin belajar dan menimba ilmu saya tidak berasa kekok atau segan untuk bertanya kepada yang pakar. Lebih-lebih lagi orang yang berpengalaman dalam bidang itu.

Tetapi pada masa itu saya berpendapat bahawa tidak per­lu untuk mendaftar syarikat dan bergerak sendiri. Saya lebih selesa bekerja di bawah orang dan mendapat upah yang lumayan untuk diri sendiri.

Lama kelamaan permintaan untuk menjalankan kerja seperti ini semakin banyak dan kadangkala saya terpaksa menolaknya kerana tidak mempunyai syarikat yang berdaftar untuk memudahkan urusan pembayaran dan sebut harga.

Oleh kerana itu, saya menghadapi kesukaran untuk meyakinkan pelanggan yang ingin menggunakan perkhidmatan saya secara terus. Sesetengah pelanggan atau syarikat mahukan sebut harga yang rasmi supaya mereka mudah untuk membuat tuntutan ke atas projek tersebut.

Maka saya membuat keputusan untuk mendaftar syarikat persendirian tujuh bulan yang lalu. Di sini saya kongsikan antara kelebihan yang didapati selepas mendaftar syarikat:-

1. Dapat meyakinkan pelang­gan

Pelanggan saya lebih yakin untuk berurusan. Saya juga mudah untuk mendapatkan mana-mana projek yang memerlukan perkhidmatan saya. Antara projek yang syarikat saya pernah kendalikan seperti pemasangan sistem fertigasi, pemasangan rumah kaca untuk tanaman dan penyediaan tanaman untuk penyelidikan.

2. Mudah untuk diurus

Setelah mendaftar syarikat, saya lebih mudah mengurus dokumen-dokumen yang berkaitan. Pengurusan perniagaan juga lebih terperinci untuk jangka masa panjang.

Andai kata saya ingin men­gembangkan perniagaan ini, sa­ya mempunyai dokumen yang lengkap untuk digunakan. Rekod keluar masuk duit syarikat juga lebih teratur dan ia amat penting untuk jangka masa panjang seperti pembayaran zakat, cukai dan sebagainya.

3. Kredibiliti sebagai peniaga yang sah

Tiada lagi timbul isu yang mengatakan saya tidak boleh berurusniaga secara terus dengan pelanggan. Saya juga dapat membahagikan keuntungan sya­-
rikat dan simpanan untuk di­kembangkan pada masa hadapan.

Saya juga dapat mengupah orang lain untuk bekerja dan membantu menguruskan syarikat. Sebelum ini, kebanyakan kerja dilakukan sendiri bersama rakan dan kini saya pula yang akan menunjukkan cara untuk pekerja saya menjalankan tugas mereka.

4. Lebih banyak peluang

Saya lebih banyak menerima peluang untuk menjana pendapatan melalui syarikat yang ditubuhkan ini. Oleh kerana terlalu lama ‘makan gaji’ kebanyakan mereka sudah kenal dan tahu cara kerja saya.

Kini saya tidak perlu bersusah payah untuk mencari pe­langgan kerana mereka akan mencari saya kerana yakin dengan hasil kerja yang memuaskan mereka.

Muhammad Nizam Hayat adalah pelajar Sarjana Sains Haiwan (Sains Daging), Fakulti Pertanian di Universiti Putra Malaysia