Kini, semakin banyak penyedia perkhidmatan atau produk selain institusi perbankan, menyediakan perkhidmatan atau aplikasi yang memberikan butiran urus niaga seperti Grab dan Touch ‘n Go, misalnya.

Atas landasan serupalah Tenaga Nasional Berhad (TNB) melaksanakan progam pemasangan meter pintar, yang me­rupakan sebahagian daripada pelaburan besar syarikat utiliti negara itu ke arah `Grid Masa Hadapan’. Projek ini dijangka mencapai kira-kira sembilan juta pengguna di Semenanjung Malaysia menjelang 2021.

Bahagian terpenting di dalam grid pintar ini datangnya daripada peluang untuk meningkatkan kecekapan. Projek perintis pemasangan meter pintar dimu­lakan di Putrajaya dan Melaka pada 2014, masing-masingnya 200 meter pintar dan 800 meter pintar.

Difahamkan sejumlah 50,000 unit telah dipasang di seluruh Melaka dan ia akan berterusan sehingga mencapai sasaran 310,000 pengguna domestik.

Secara umumnya, meter pintar ini membolehkan pengguna mengetahui penggunaan elektrik mereka setiap setengah jam, dan dengan itu, boleh melakukan penjimatan dengan mengubah tabiat penggunaan yang membazirkan elektrik. Antaranya, ti­dak membiarkan televisyen di­sambung ke elektrik semalaman, walaupun tidak menonton dan memasang pendingin hawa jika perlu sahaja bagi mengurangkan bil elektrik.

Tabiat

Di pihak TNB pula, pemasangan meter pintar itu membantu untuk memahami tabiat penggunaan elektrik pelanggan mereka dengan lebih baik lagi selain memenuhi keperluan pelanggan dengan berkongsi maklumat pengunaan setiap setengah jam.

Pemasangan meter pintar ini bukan sesuatu yang luar biasa atau aneh kerana ia telah diamalkan di negara lain seperti Jepun, Sweden, Itali, Arab Saudi dan Filipina.

Syarikat utiliti kuasa Tokyo Electric Power (TEPCO) dan Manila Electric Company (MERALCO), kedua-duanya telah membuktikan bahawa meter pintar adalah pilihan yang tepat bagi mereka sendiri dan pelanggan mereka.

Naib Presiden Eksekutif TEPCO Power Grid Inc, Dr. Hiroshi Okamoto berkata, syarikat penjanaan dan pembahagian kuasa itu telah berjaya memasang 17 juta meter pintar bagi pelanggan kediamannya dengan menggunakan tiga teknologi berbeza, rangkaian ‘mesh wireless’ (frekuensi radio) rangkaian ‘server’ (tanpa wayar) dan komunikasi talian kuasa.

Penggunaan meter berkenaan berjaya membantu pengguna di negara matahari terbit itu menjadi semakin bijak dalam menggunakan tenaga elektrik secara lebih efisien.

“Meter pintar berupaya memberi maklumat mengenai jumlah penggunaan elektrik pada setiap setengah jam sekali gus membolehkan pengguna merancang dan mengubah tabiat penggunaan elektrik mengikut keperluan masing-masing.”

Ketua Penasihat Teknologi MERALCO, Gavin D. Barfield berkata, meter pintar ini mendapat sokongan kerana memboleh­kan pengguna yang amat mementingkan aspek perbelanjaan mereka, memantau penggunaan tenaga masing-masing.

Menurut Barfield, di Filipina meter tersebut, terutamanya je­nis prabayar, memudahkan pengguna untuk membayar bil-bil utiliti mereka di kedai-kedai setempat yang menjual kredit atau perkhidmatan pengisian semula selepas kehabisan kredit.

Tambahan pula, meter pintar ini juga akan membantu pemilik yang menyewakan premis memiliki pengurusan kewangan lebih baik bagi penggunaan tenaga dan pembayaran bil oleh penyewa mereka. Ini kerana semua bil ini dapat diselesaikan dengan serta-merta selain wujudnya maklumat masa nyata.

Satu lagi kelebihan pemasa­ngan meter pintar prabayar ini adalah pengurangan kes atau kejadian kecurian elektrik daripada talian kuasa berhampiran, khususnya di kawasan-kawasan setinggan seperti Manila apabila penghuni di kawasan berkenaan boleh membayar mengikut penggunaan tenaga yang sesuai berdasarkan keperluan semasa mereka.

Kewujudan meter pintar prabayar ini juga dapat melupuskan pergantungan penduduk setinggan kepada kawasan kejiranan yang lebih kaya yang mungkin akan mengenakan kadar caj elek­trik yang lebih tinggi daripada pembekal utiliti itu itu sendiri, tambah Barfield.

Tuduhan

Di sebalik faktor positif daripada penggunaan meter pintar ini, masih wujud segelintir manusia yang menyebar perkara-perkara tidak benar dan tidak berasas mengenainya. Tetapi bagi orang yang tidak tahu, biasanya akan terpengaruh.

Antara dakwaan tidak berasas yang ditemui berlegar di dalam media sosial ialah Fre­kuensi Radio (RF) meter pintar boleh mendatangkan masalah kesihatan dan mencetuskan electromagnetic hypersensitivity.

Hakikatnya RF terhasil daripada meter pintar itu adalah minimal dan secara relatif­nya, di paras rendah terutama dibandingkan dengan gajet lain yang kita gunakan seharian se­perti telefon pintar, Wi-Fi dan gelombang mikro.

Berikut adalah pecahan pe­lepasan RF:

  • Smart Meter (Jarak 3 meter/10 kaki): 0.1 Mikrowatt per segi sentimeter (cm2)
  • Wi-Fi: 20 Mikrowatt cm2
  • Telefon Pintar (diletak pada telinga): 10,000 Mikrowatt cm2

Dengan jutaan meter pintar telah pun dipasang di luar negara, dakwaan berkaitan RF ini tidak berasas. Komponen RF pada meter pintar ini tentunya sudah melalui proses pemeriksaan dan ujian ketat oleh badan-badan berkaitan di banyak negara, termasuk Malaysia menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Tuduhan liar kedua ialah meter pintar ini memungut dan menyimpan maklumat peribadi anda. Sebenarnya, meter ini hanya memungut dan me­nyimpan data penggunaan tenaga anda, acara berkaitan meter, dan maklumat mengenai kualiti tenaga. Tiada maklumat peri­badi diambil dan disimpan di dalam meter.

Tuduhan lain ialah meter ini mengganggu peralatan perubatan seperti perentak jantung (pacemaker). Sama seperti di­sebut di atas, komponen RF pada meter telah diluluskan banyak negara yang memastikan ia mematuhi peraturan khusus dan standard keselamatan yang ditetapkan oleh SKMM. Tentulah ia merangkumi soal peralatan perubatan.

Satu lagi tuduhan aneh ialah kononnya meter ini mengeluarkan radiasi paras X-ray. Ini sama sekali tidak benar kerana meter ini hanya mengeluarkan radiasi bukan ionizing, sama seperti Wi-Fi dan alat bebas pegang Bluetooth.

Penduduk Melaka bertuah kerana Melaka dipilih sebagai negeri pertama meter pintar dipasang. Pemilihan Melaka di­sebabkan dasar kerajaan negeri dulu dan sekarang yang menjadi negeri tunggal di Malaysia yang melaksanakan Pelan Tindak Ban­dar Hijau (GCAP). Projek meter pintar ini selaras dengan wawasan dan aspirasi kerajaan Melaka untuk mencapai status negeri maju. Sebenarnya, orang Melaka lebih pintar dalam aspek ini!