Kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan pula cukup selesa, moden dan bersih ditambah pula dengan kecekapan operasi bagi setiap cabang yang dikendalikan oleh syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana). Selain itu, Park N’ Ride, Bike N’ Ride dan penggunaan kad Touch ‘n Go merupakan antara inisiatif untuk melancarkan perjalanan para pengguna selain meningkatkan pengalaman apabila menggunakan pengangkutan awam.

Sementara itu, Terminal Bersepadu Selatan (TBS) yang beroperasi secara rasmi pada Januari 2011 telah membuka lembaran baharu dalam perkhid­matan bas di negara ini apabila menjadi hab bas bersepadu yang menawarkan kemudahan eksklusif dan selesa. Apabila masuk sahaja ke TBS pasti berasa seperti memasuki terminal lapangan terbang.

Pelbagai inisiatif yang disedia­kan pastinya memberi manfaat kepada orang ramai terutama yang menggunakan perkhidmatan tersebut pada waktu puncak, hujung minggu atau di musim perayaan. Aliran trafik yang tinggi pada waktu berkenaan menjadikan perkhidmatan awam sebagai pilihan utama.

Bagaimanapun, penulis mendapati masih berlaku kesesakan di stesen-stesen LRT, MRT, Monorel dan TBS. Hal ini bukan disebabkan oleh kelewatan operasi tetapi berpunca daripada mentaliti segelintir pengguna yang masih tidak mengikut arus kemodenan dalam menggunakan kemudahan yang disediakan terutama ketika hendak memasuki stesen.

Apa yang penulis hendak tekankan di sini adalah sejauh mana rakyat Malaysia bersedia menggunakan kemudahan yang disediakan bagi melancarkan perjalanan tanpa melalui pembelian tiket atau token.

Peralihan pembelian tiket di kaunter dan Mesin Jualan Token (TVM) kepada Touch ‘n Go di stesen-stesen LRT, MRT dan Monorel bertujuan untuk me­lancarkan proses keluar masuk pengguna. Namun, sama ada sedar atau tidak masih ramai yang sanggup beratur panjang semata-mata untuk membeli token sekali gus menyumbang kepada kese­sakan di stesen dan lebih teruk apabila terlepas perjalanan.

Itu belum lagi ada pelanggan yang menghampiri kaunter pembelian token sekadar untuk bertanya sesuatu kepada staf yang bertugas yang melengahkan masa menyebabkan pengguna lain terus memerhati de­ngan ‘tajam’.

Mengapa masih mengharap­kan kaunter untuk pembelian sedangkan boleh memasuki stesen hanya dengan satu sentuhan sahaja. Tahukah anda bahawa tambang perjalanan menggunakan kad Touch ‘n Go adalah lebih murah berbanding menggunakan token.

Tidak ketinggalan perkhidmatan bas Rapid KL juga telah lama menyediakan kemudahan pembayaran menggunakan kad Touch ‘n Go. Hanya perlu sentuh kad sebanyak dua kali pada alat pengimbas yang diletakkan dalam bas iaitu semasa naik dan turun.

Sekiranya tambah nilai kad Touch ‘n Go menjadi alasan pengguna tidak menggunakan kad itu, terdapat banyak mesin tambah nilai layan diri yang disediakan di stesen selain di kaun­ter. Selain itu, banyak kedai terpilih turut menyediakan perkhidmatan berkenaan.

Lain pula situasinya di TBS yang mana kesesakan dapat dilihat di kaunter-kaunter tiket terutama pada cuti hujung minggu dan musim perayaan. Walaupun terdapat 59 kaunter sistem tiket berpusat (CTS) namun kesemuanya penuh de­ngan orang ramai yang beratur panjang untuk membeli tiket.

Lebih menarik apabila 12 mesin jualan tiket layan diri yang mempunyai fungsi sama iaitu untuk membeli tiket ke semua destinasi kelihatan lengang atau tidak sesibuk di kaunter CTS. Tidak pasti sama ada kita takut untuk mencuba sesuatu yang baharu atau lebih selesa dengan kaedah lama.

Sebenarnya orang ramai mempunyai alternatif lain de­ngan membeli tiket secara dalam talian sekali gus menjimatkan masa, lebih selesa dan menjadikan perjalanan lebih lancar. Kaedahnya sama sahaja seperti membeli tiket di kaun­ter dan ia boleh diakses dengan mudah melalui telefon pintar.

Tanggal 9 Mei ini, Malaysia­ akan mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Aliran trafik dijangka sibuk dan para pengguna pengangkutan awam dinasihatkan untuk merancang perjalanan dengan bijak serta memanfaatkan segala kemudahan yang disediakan bagi me­lancarkan perjalanan pulang ke destinasi masing-masing. Tidak perlu lagi bersesak-sesak dan tertinggal kenderaan disebabkan mentaliti yang tidak mahu berubah ke arah lebih baik.