Apa tidaknya, ketika diberi peluang untuk memandu uji Tucson baharu ini, penulis dapat merasakan pengalaman berbeza, bukan sahaja daripada segi pengendalian tetapi juga kehebatan enjin yang memacu pantas SUV ini.

Penulis juga terpegun de­ngan bentuk Tucson yang garang dan tampil mewah sekali gus menolak tanggapan umum bahawa kenderaan buatan Asia lebih-lebih lagi dari Korea Selatan adalah ketinggalan zaman.

Tucson generasi ketiga mula diperkenalkan di Malaysia tahun lalu dengan dua varian iaitu 2.0L Elegance dan 2.0L Executive telah ditambah baik dengan pengenalan dua varian baharu tahun ini iaitu 1.6 Turbo GDi dan 2.0L CRDI Diesel menggantikan varian 2.0L Exe­cutive manakala 2.0L Elegance masih dikekalkan.

Bahagian luaran Tucson sememangnya tampak teguh de­ngan gril radiator berwarna krom yang ikonik pada bahagian hadapan dan dihiasi lampu hadapan diod pemancar cahaya (LED) yang garang serta lampu kabus dan lampu siang LED teknologi terkini.

Di belakang pula, kombinasi reka bentuk lampu belakang dan lampu berhenti yang diletakkan di bahagian atas menampilkan gaya lebih elegan dan canggih berbeza dengan kenderaan-kenderaan lain.

Sesuatu yang menarik kesemua varian Tucson juga telah dianugerahkan sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV) oleh kerajaan Malaysia sekali gus berjaya meletakkannya dalam standard yang sama dengan kebanyakan kenderaan teknologi masa kini.

Hyundai juga tidak ketinggalan dalam menerapkan teknologi moden dan aspek keselamatan yang tinggi dalam kendera­an buatannya dengan Tucson dilengkapi dengan enam beg udara, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Kawalan Kestabilan Kende­raan (VSM), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dan juga Bantuan Mula Mendaki (HAC) serta Sistem Bantuan Meletak Kereta (PAS) depan dan belakang.

Lebih mengujakan, Tucson juga dilengkapi Sistem Melun­cur Automatik, kawalan lampu automatik dan paling menarik, Brek Letak Kenderaan Elektro­nik (EPB) menggantikan brek tangan atau brek kaki dalam kenderaan lain.

Melangkah masuk ke ruangan dalaman, sulaman jahitan berwarna merah pada kerusi tempat duduk yang menyerlahkan sisi sporty Tucson berjaya menarik perhatian penulis manakala reka bentuk moden dan kemas berwarna hitam pada papan pemuka melambangkan kemewahan SUV buatan Asia ini.

Papan pemuka juga menggu­nakan Navigasi Visual Audio (AVN) membolehkan pemandu menggunakan sistem navigasi terus daripada dalam kereta.

Semasa sesi pandu uji meng­hala ke Ipoh dari Kuala Lumpur, penulis diberi kesempatan menguji varian 1.6 Turbo GDi. Ter­nyata, jentera yang menghasilkan kuasa sebanyak 177PS dengan kuasa kilas 265 Nm memberi pengalaman pemanduan yang berbeza melalui jalan berliku.

Kuasa yang dihasilkan oleh jentera ini ditambah kuasa turbo yang dimiliki bukan sahaja jelas berkesan apabila melalui jalan lurus, malah terasa ringan dan tidak ‘membuang’ apabila mengasak selekoh-selekoh tajam.

Apabila berpatah balik ke Ku­ala Lumpur, penulis mencuba pula Tucson varian enjin berkuasa diesel R 2.0 CRDi. Apa yang penulis boleh katakan adalah tidak terasa perbezaan yang begitu besar antara jentera ini dengan varian 1.6 Turbo GDi kerana pengendaliannya cukup sempurna dan terasa seakan-akan memandu kereta sedan.