Sebagai makluman para pembaca, sebelum tahun 2007, pelabur dan pedagang saham mendapat tunjuk ajar daripada remisier, dealer atau rakan-rakan mereka yang berpengalaman.

Dan pada waktu itu juga, pelabur dan pedagang saham mengetahui selok-belok pasaran saham daripada pengalaman sendiri termasuk mende­ngar berita-berita dari luar atau disebut sebagai petua atau khabar angin.

Walau bagaimanapun, kelas-kelas pembelajaran saham berbayar menjadi semakin rancak pada tahun 2013 iaitu selepas Pilihan Raya Umum ke-13. Dan dewasa ini ia menjadi semakin berkembang menyebabkan yuran pembelajaran saham menjadi semakin mahal.

Walaupun syarikat broker saham, bank pelaburan, Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti kerap menganjurkan seminar atau kelas saham secara percuma saban tahun, tidak dinafikan kelas berbayar masih mendapat permintaan yang tinggi dengan adanya penggunaan strategi pemasaran di media sosial.

Oleh kerana terdapatnya permintaan yang tinggi ke atas kelas-kelas saham ini, maka ramai yang mengambil peluang menganjurkan kelas saham termasuk individu-individu yang tiada kelayakan atau pengiktirafan serta tiada latar belakang pembelajaran secara formal.

Harga kelas-kelas saham ini pula ada yang mencecah ribuan ringgit bagi pembelajaran peringkat lanjutan sementara purata yuran peringkat asas pula tidak lebih daripada RM500. Persoalannya di sini, apakah keberkesanannya jika seseorang itu mengikuti kursus atau pembelajaran saham yang menelan belanja ribuan ringgit?

Sudah tentu pelabur dan pedagang baharu ingin pula­ngan yang setimpal dan memuaskan dengan menghadiri kelas-kelas berbayar ini. Tetapi ia tidak semudah yang dijangkakan kerana pasaran saham boleh bergerak turun disebabkan faktor-faktor dalaman dan persekitaran yang menyebabkan harga saham tersebut jatuh.

Dan dengan yuran yang agak mahal bagi sesetengah orang, golongan yang tidak berkemampuan selalu mengeluh kerana tidak dapat mengikuti pembelajaran saham untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

Belajar saham ini ibarat se­perti proses pembelajaran akademik di sekolah iaitu bermula dari peringkat tadika, sekolah rendah, menengah dan universiti. Ia merupakan satu proses pembelajaran yang memakan masa.

Masa yang diperlukan ialah sekurang-kurangnya dua tahun dan minimum satu tahun. Tetapi ini berbeza jika seseorang itu hanya membuat permohonan saham terbitan awal kerana kaedahnya agak mudah berbanding dengan memilih saham-saham tersenarai di Bursa Malaysia yang didagangkan di pasaran terbuka.

Terdapat banyak kes yang mana Cikgu Saham menerima pertanyaan daripada orang ramai memberitahu bahawa mereka masih gagal dalam menjana keuntungan walaupun telah belajar ilmu-ilmu yang berkaitan dengan pasaran saham.

Kepada yang meminta nasihat ini, terlebih dahulu kita perlu ketahui latar belakang atau profil serta pengalaman tenaga pengajar tersebut. Sekiranya tenaga pengajar itu baharu setahun dua melibatkan diri dalam pasaran saham, maka sudah tentu banyak perkara yang tidak diketahui.

Sebagai contoh, dia tidak dapat menceritakan keadaan pasaran sebelum dan selepas setiap pilihanraya umum kerana tempoh masa satu penggal ialah lima tahun dan dia hanya berpengalaman selama dua atau tiga tahun sahaja dalam pasaran.

Dan sekiranya seseorang pelabur veteran yang hadir pada kelas tersebut, tenaga pengajar juga tidak dapat menjawab soalan atau merungkai masalah jika ditanya tentang keadaan pasaran sepuluh atau dua puluh tahun dahulu kera­na tenaga pengajar tersebut melibatkan diri dalam pasaran kurang dari lima tahun sebagai contoh.

Banyak kelemahan jika tenaga pengajar saham tidak mempunyai pengalaman yang lama atau tidak mempunyai pembelajaran yang formal. Ini kerana ditakuti mereka akan mereka-reka ideologi sendiri. Ia amat bahaya jika disampaikan kepada orang yang langsung tiada asas tentang saham.

Sekiranya tenaga pengajar tersebut diiktiraf atau daripada mereka yang ada autoriti, orang ramai yang mempunyai kemusykilan yang tidak terjawab atau tidak dapat diselesaikan, boleh terus menghubungi pi­hak broker saham atau pihak berkuasa yang mengawal selia pasaran modal.

Kita sambung topik ini ming­gu hadapan.