Persoalan timbul apabila pihak yang bertelagah di dalam syarikat itu dikatakan perlu merujuk kes tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai dakwaan wujud salah laku membabitkan pengurusan syarikat terbabit.

Apa yang menimbulkan persoalan pihak terbabit ialah kedudukan Hadenan selaku Pengerusi Panel Penilaian Operasi SPRM dan status beliau tersebut dikhuatiri boleh menimbulkan konflik kepentingan selain aspek soal integriti urus tadbir korporat.

Kemelut dalam Protasco timbul setelah Pengarah Bukan Eksekutifnya, Tey Por Yee dilaporkan memfailkan tindakan mahkamah bagi pihak dan kepentingan syarikat untuk menuntut semula wang sebanyak RM10 juta daripada Pe­ngarah Urusan, Datuk Seri Ir. Chong Ket Pen yang didakwa diperolehnya secara rahsia daripada urus niaga pembelian 68 peratus saham syarikat minyak dan gas Indonesia, PT ASI.

Krisis tersebut berpanjangan apabila Protasco pula dilaporkan bertindak balas dengan memfailkan tindakan mahkamah ke atas Por Yee dan seorang lagi Pengarah syarikat itu, Ooi Kock Aun pada 22 September lalu kerana didakwa melanggar kewajipan fidusiari membabitkan tuntutan ganti rugi sebanyak AS$27 juta (RM88 juta) atas penipuan dan konspirasi dalam urus niaga pembelian saham sebuah syarikat minyak dan gas Indonesia, PT ASI.

Tidak cukup dengan itu, syarikat dilaporkan turut membuat laporan polis ke atas Por Yee dan Kok Aun yang dikatakan mahu mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) dijadual 28 November ini bagi menyingkirkan Chong.

Krisis dikatakan semakin panas apabila Chong pula dilaporkan memanggil EGM pada 26 November ini, bagi menyingkirkan ke­dua-dua seterunya itu.