Pengerusi Aeon Credit, Ng Eng Kiat berkata, pihaknya kekal de­ngan pendirian bahawa syarikat tidak bersalah dan berada pada kedudukan yang betul.

Katanya, isu ini berada di pe­ringkat perbincangan dengan ejen cukai, juruaudit dan peguam cara.

“Kami memegang prinsip bahawa kami tidak bertanggungjawab ke atas cukai tambahan berkenaan itu.

“Perbicaraan mahkamah mengenai kes ini ditunda ke Julai dan rayuan kepada Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan telah difailkan,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan Aeon Credit di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Aeon Credit, Kenji Fujita, Ketua Pegawai Kewangannya, Lee Kit Seong.

Pada Disember 2017, Aeon Credit diberi notis taksiran (cukai) tambahan berserta penalti oleh LHDN bernilai RM96.82 juta bagi tahun taksiran 2010 sehingga 2016.

Dalam perkembangan lain, Aeon Credit bakal melancarkan dua produk baharu, Aeon Wallet dan Aeon Member Plus Card menjelang penghujung tahun kewangan semasa.

Fujita berkata, ia adalah selari dengan inisiatif digital yang diperkenalkan syarikat untuk memperkasakan sistem pembayaran tanpa tunai.

“Aeon Member Plus Card pula akan menyediakan pelanggan dengan keistimewaan dan faedah bagi melengkapkan gaya hidup pelanggan selain daripada menarik pelanggan pelbagai segmen,” katanya.

Dalam pada itu, Fujita berkata, Aeon Credit dijangka mengekalkan momentum yang memberangsangkan untuk tahun kewangan akan datang.

Bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2018 Aeon Credit merekodkan keuntungan bersih berjumlah RM300.06 juta, me­ningkat 13.2 peratus berbanding tahun kewangan sebelumnya.

Syarikat tersebut turut mencatatkan perolehan bernilai RM1.24 bilion bagi tahun kewa­ngan 2018, meningkat 12.1 peratus berban­ding RM1.10 bilion pada tahun kewangan sebelumnya.