Pengarah Negara Randstad Malaysia, Ryan Carroll berkata, menurut kajian Randstad Workmonitor pekerja Malaysia turut menunjukkan keyakinan tinggi bahawa terdapat peningkatan gaji pada tahun ini.

Menurutnya, sebanyak 78.1 peratus berharap majikan akan menaikkan gaji mereka dan lapan daripada 10 responden optimis akan turut menerima bonus.

“Jangkaan yang tinggi terhadap kenaikan gaji dan pembayaran bonus mencerminkan keyakinan dan juga sentimen positif terhadap ekonomi Malaysia. Para pekerja berharap diberikan ganjaran setimpal terhadap kerja keras mereka seiring dengan perkembangan syarikat.

“Syarikat perlu melaburkan lebih banyak untuk gaji dan faedah para pekerja dan secara tidak langsung menaikkan imej majikan, menarik lebih ba­nyak calon-calon yang layak dan mengekalkan pekerja sedia ada,” kata beliau.

Mengulas lanjut, Carroll berkata, keyakinan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia adalah yang tertinggi di Asia dan mengatasi beberapa negara seperti Hong Kong serta Singapura.

Menurut beliau, jika diban­dingkan dengan Singapura, para pekerja tidak terlalu optimis de­ngan kenaikan gaji dan bonus daripada majikan.

“Golongan muda di Singapura yang berumur 18 hingga 34 tahun hanya mementingkan gaji yang tinggi supaya mereka dapat menangani kos sara hidup dengan lebih baik,” kata beliau.