Pengguna juga inginkan pembaharuan tambah lagi zaman revolusi ini dan kekangan ekonomi mereka mendesak untuk mencari produk baharu mengikut keperluan. Inilah masanya, peluang itu harus ditembusi oleh peniaga dan usahawan baharu.

Jangan terlalu asyik mengikut peredaran zaman sampai terpaksa berhempas-pulas untuk memenangi hati pelanggan. Pelanggan juga akan terkeliru untuk mencuba jenama yang baharu tetapi kualiti dan kuantiti hampir sama. Akhirnya pelanggan memilih kekal dengan jenama yang sama sahaja.

Pengguna mula sedar mereka perlu prihatin tentang pembelian bulanan sehingga mereka akan memastikan semua keperluan adalah mengikut bajet yang ada. Bagi peniaga dan usahawan pula jangan merasakan ia adalah penamat bahawa anda tidak mampu untuk berkembang besar atau tiada peluang menjadi seorang usahawan yang berjaya.

Hanya dengan sedikit jolokan dan usaha anda pasti mampu melakukannya. Sedikit panduan daripada saya yang pernah berada di pelbagai posisi di dalam banyak syarikat, bagaimana untuk menembusi pasaran baharu:

Gunakan media sosial untuk berinteraksi

Orang sekarang lebih gemar ‘berjalan’ di media sosial berbanding di pasar raya besar. Ada yang berpendapat dan merasakan daripada mereka keluar mencari barang ke pasar raya lebih baik tunggu sahaja barang keperluan sampai di depan pintu rumah. Lebih jimat masa dan kos minyak kereta.

Lagi pula sekarang kesesakan lalu lintas menyebabkan pelanggan tidak suka keluar rumah. Masa dengan keluarga juga lebih banyak dan anak-anak sangat suka apabila ibu bapa mereka ada di rumah.

Sebagai usahawan atau peniaga baharu anda boleh sentiasa berinteraksi dengan mereka di media sosial seperti membuat pemasaran secara tidak langsung, atau menggunakan iklan yang berbayar untuk mensasarkan produk anda kepada mereka.

Membuat promosi

Di awal peletakan produk anda di hati pelanggan adalah dengan cara membuat sebarang promosi yang boleh membuatkan pelanggan anda jatuh hati.

Contohnya, penghantaran secara percuma, pemasangan produk secara percuma atau diskaun yang berpatutan kepada pelanggan.

Para pelanggan sukakan promosi-promosi yang boleh mendatangkan kelebihan kepada mereka. Bak kata pepatah “lebih banyak kita memberi lebih banyak pulangannya nanti.”

Merekod data pelanggan

Tujuan merekod adalah supaya anda boleh membuat kaji selidik selepas pelanggan menggunakan servis atau produk anda. Daripada situ anda dapat meningkatkan kualiti servis dan produk untuk masa akan datang.

Selain itu, sebagai usahawan anda harus mempunyai pemikiran bahawa anda memerlukan pelanggan yang sentiasa membeli dengan berkali-kali bukan hanya mempunyai pelanggan yang sentiasa bertukar ganti.

Ia akan menyukarkan anda jika mempunyai pelanggan yang sentiasa bertukar dan itu bererti anda mempunyai masalah dengan servis atau produk yang dijual.

Meletakkan produk atau servis di tempat yang betul

Ini adalah bahagian yang paling kurang peniaga atau usahawan lakukan. Ramai peniaga atau usahawan lebih gemar memasarkan servis dan produk mereka di merata tempat. Apabila melakukan proses ini mereka sebenarnya sudah meningkatkan kos pemasaran dan menyebabkan pulangan yang mereka dapat kurang.

Oleh kerana itu, peniaga dan usahawan akan mengalami kerugian dan golongan selepas itu akan ketakutan untuk mengeluarkan kos pemasaran yang tinggi.

Oleh itu, muncullah peniaga-peniaga dan usahawan-usahawan yang gulung tikar selepas tiga tahun operasi dan ada juga yang tutup syarikat selepas lima tahun cuba untuk bertahan.

Tidak kiralah dalam bidang apa pun kita, jika inginkan sesuatu mestilah bijak dan usaha yang gigih sehingga anda dapatkannya.

WAN NUR FARIZATUL AKMA WAN ABD NASIR adalah graduan Sarjana Sains (Fisiologi) Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia.