Jurugambar tersebut, Azli Ahad, 51, dan Mohd. Azim Abdul Rahman, 31, bersama jurugambar agensi lain termasuk News Straits Times Press, Bernama, The Star, Sinar Harian serta akhbar berbahasa Cina mempamerkan hasil kerja masing-masing berkisarkan Melaka untuk dipertontonkan kepada umum.

Majlis perasmian pameran julung kali anjuran Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) dengan kerjasama Kelab Media Massa Melaka (Kemm) dan Persatuan Wartawan Melaka (MJA) itu disempurnakan Ketua Menteri yang juga penasihat Kemm, Datuk Seri Idris Haron.

Beliau yang sempat meluangkan masa menyaksikan pameran itu berkata, usaha menganjurkan program yang memaparkan hasil kerja jurugambar-jurugambar agensi media Melaka itu sangat baik dan mampu menarik minat orang ramai.

“Setiap karya yang dihasilkan mempunyai cerita di sebaliknya malah terdapat juga karya yang tidak pernah dipamerkan di media arus perdana ada di sini dan sudah tentu ia mempunyai keunikan tersendiri,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian pameran itu sebentar tadi. - UTUSAN ONLINE