Dealer dan remisier yang mempunyai pengalaman lama di dalam pasaran saham kebia­saannya mengetahui tentang terminologi pasaran kerana mereka telah melaluinya atau melakukannya. Terminologi pasaran ini boleh disemak di laman web Bursa Malaysia.

Satu daripada terminologi pasaran yang sangat sinonim dalam transaksi saham ialah jualan paksa. Jualan paksa ini merupakan satu paksaan menjual yang dikenakan oleh Bursa Malaysia ke atas pembelian saham yang tidak dijelaskan pada hari yang ditetapkan.

Dalam erti kata lain, pedagang saham membeli saham sekadar untuk melakukan transaksi kontra kerana mereka tidak mempunyai modal tunai yang mencukupi bagi membayar pembelian saham yang dibuat.

Pembelian saham yang tidak disokong oleh modal tunai ini merupakan pemberian pinjaman sementara oleh broker saham kepada pedagang saham. Pada hari jualan paksa dilakukan, syarikat broker saham mengenakan faedah ke atas jumlah pinjaman ke atas pembelian saham tersebut.

Perkataan jual paksa itu sahaja biasanya memberi gambaran bahawa harga saham akan menurun kerana ramai pedagang saham yang berurusniaga saham secara kontra menunggu saat terakhir untuk menjual saham dengan harapan harga saham akan naik dalam tempuh yang ditetapkan bagi membuat pembayaran.

Oleh kerana berlakunya jualan paksa pada harga semasa dagangan Bursa Malaysia, harga akan menurun dan jika jualan paksa dilakukan secara agresif dan berterusan, ini akan mengakibatkan harga saham menjadi semakin jatuh.

Jualan paksa perlu dilakukan sebelum waktu pratutup Bursa Malaysia. Maka, sekiranya masih banyak saham yang belum dijual paksa, syarikat broker saham tidak akan berkompromi dalam aktiviti jual paksa ini.

Mereka akan menjual saham tersebut pada harga berapa sahaja yang diminta oleh pembeli. Pedagang saham kontra perlu mengambil berat tentang keadaan ini untuk mengelakkan kerugian menjadi semakin besar.

Dalam analisis teknikal, sesuatu keadaan yang turun akan meneruskan penurunan. Begitu juga sesuatu keadaan menaik, ia akan meneruskan kenaikan. Oleh sebab itu adanya limit up dan limit down dalam pasaran Bursa Malaysia.

Satu keadaan yang mana harga saham terus naik atau terus jatuh pada satu had yang ditentukan oleh Bursa Malaysia.

Justeru, pedagang atau pelabur saham perlu mengambil perhatian tentang aktiviti jualan paksa ini. Keadaan boleh menjadi semakin teruk sekiranya jualan paksa ini berterusan untuk beberapa hari atau ming­gu.

Maka, tidak hairanlah jika ramai membeli saham yang semakin jatuh untuk beberapa hari kerana jualan paksa ini tidak dapat diserap oleh aktiviti pembelian.

Juga, aktiviti jual paksa ini juga boleh terjadi pada portfolio saham yang di bawah pembiayaan margin. Secara umumnya, harga saham di dalam akaun margin akan menurun semasa pasaran saham dalam aliran menurun. Justeru, ini akan mengakibatkan panggilan margin atau margin call dikenakan ke atas pemilik akaun margin ini.

Sekiranya pemilik akaun margin tidak dapat menambah modal tunai atau mendeposit saham-saham syarikat tersenarai ke dalam akaun margin tersebut pada waktu yang ditetapkan, akaun margin tersebut juga akan dikenakan jual paksa.

Secara umumnya, jualan paksa ke atas akaun margin ini lebih teruk impaknya daripada pemegang akaun biasa atau akaun runcit (retail account).

Semasa zaman kejatuhan pasaran saham Asia tahun 1997-98, banyak saham di dalam akaun margin ini dijual paksa dan mengakibatkan akaun margin tersebut menjadi negatif atau hampir hilang modal pelaburan kerana pemilik akaun margin ini juga perlu membayar faedah serta rollover fees ke atas kemudahan margin yang diberikan oleh syarikat broker saham.

Maka, pelabur dan pedagang saham perlu bijak memahami dan mengambil tahu makna terminologi pasaran untuk dimanfaatkan dalam membuat pelaburan saham di Bursa Malaysia. Dengan ini juga, kita dapat menghindarkan diri daripada mengalami kerugian ataupun dapat mengelakkan kerugian menjadi semakin besar.