PARK HONG BAI
PARK HONG BAI

Presiden JTO, Park Hong Bai berkata, pelancong dari Malaysia merupakan kedua paling ramai melawat Jeju selepas China dengan jumlah pelawat sebanyak 66,207 orang pada tahun lalu.

Katanya, JTO optimis terhadap prospek 2018 susulan pelancaran laluan penerbangan terus terbaharu ke Jeju oleh AirAsia X dengan kekerapan empat kali seminggu.

“AirAsia X menjadi satu-satunya syarikat penerbangan tambang rendah yang mempunyai hubungan terus antara Kuala Lumpur dan Jeju, selepas Seoul (Incheon) dan Busan.

“Antara tarikan utama pelancong adalah warisan negara Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Seongsan Sunrise Peak dan Gunung Halla,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Memiliki keindahan alam semula jadi serta budaya penduduk unik, Jeju berkeluasan 1,849 kilometer persegi berkembang pesat sebagai destinasi pelancongan terkemuka di Korea.

Menurut Hong Bai, tarikan lain di Jeju termasuk muzium Teddy Bear, Play KPOP, Songeup Folk Village, Camellia Hill dan Ecoland.

Jelas beliau, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, JTO konsisten membawa masuk lebih ramai pelancong Malaysia khususnya pelancong Islam dengan memperkenalkan Jeju sebagai destinasi mesra Islam.

“Terdapat masjid untuk muslim di Jeju Islamic Cultural Center (JICC) dan kemudahan surau di lokasi pelancongan seperti Ilchul Land dan Play KPOP.

“JTO juga agresif mempromosikan restoran halal di Jeju, antaranya, restoran makanan Korea, Cheonhaecheon dan Daewonga serta makanan India, Indian Kitchen (Bagdad House),” tambahnya.