Pengarah Urusan Jotun Malaysia & Singapura, Eric Mallace berkata, peningkatan perolehan itu akan didorong daripada penggunaan cat bagi segmen dekorasi.

Katanya, syarikat juga yakin dapat mencapai sasaran berikutan permintaan tinggi terhadap produk cat keluarannya.

“Jotun berada di barisan hadapan inovasi produk dan warna. Jotun membawakan produk berkualiti tinggi dan warna yang tahan lama bagi bangunan ikonik pencakar langit serta pelbagai jenis kediaman,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran trend warna global Jotun 2018 di sini hari ini.

Jotun memperkenalkan tiga tema warna baharu iaitu City Motions, Silent Serenity dan Lush Garden yang direka khas untuk menggambarkan kepelbagaian pilihan gaya hiasan dalaman.

Ketiga-tiga tema warna itu dihasilkan melalui pelaburan masa dan kepakaran ahli-ahli pasukan warna Jotun dari Norway yang dipimpin Pengurus Warna Global Jotun, Lisbeth Larsen.

Menurut Mallace, Malaysia ada­­lah pasaran pertama di Asia Tenggara yang mempamerkan trend warna global Jotun 2018 bertemakan Rhythm of Life.

“Pasaran seterusnya adalah Indonesia, Vietnam dan Thailand,” tambah beliau.

Jotun telah ditubuhkan pada 1983 dan melancarkan kilang cat pertamanya pada 1985 di Shah Alam untuk menghasilkan cat dekoratif maritim dan perlindungan.

Pada 2011, Jotun membuka sebuah kilang serba moden di Nilai, Negeri Sembilan khusus untuk pembuatan pelapis berasaskan pelarut. Kilang itu juga beroperasi sebagai hab pembuatan bagi rantau Asia Tenggara.