Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor (J-Biotech), Wan Amir-Jeffery Wan Abdul Majid berkata, 20 syarikat berkenaan merupakan tambahan kepada 17 syarikat yang menyertai program tersebut tahun lalu.

Beliau percaya, kejayaan dilakar program itu tahun lalu menjadi penyumbang peningkatan pemain industri terbabit.

“Tahun lalu, kira-kira 71 peratus penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) daripada 1,831 yang dilatih menerusi program berkenaan berjaya mendapat pekerjaan sebelum menamatkan pengajian mereka dan ini merupakan satu petunjuk yang baik.

“Justeru, J-Biotech akan memperhebatkan program Johor Bio Talent dalam usaha kita membantu menyediakan modal insan berdaya saing dan berkualiti bagi membangunkan industri itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Johor Bio Talent diperkenalkan pada 2014 oleh J-Biotech dan mendapat kerjasama Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp) dan Pusat Kecemerlangan Industri (ICoE) di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi.

Inisiatif itu merupakan satu program pembangunan modal insan yang menyasarkan golongan mahasiswa di peringkat universiti de­ngan tujuan menyediakan graduan berkeupayaan serta menepati ke­perluan serta kemahiran diperlukan industri.