Pelaksanaan Digital Negeri Johor itu akan dibuat menerusi kerjasama tiga pihak bagi membentuk sebuah syarikat dikenali IM3i Sdn. Bhd. (IM3i) yang menyediakan infrastruktur diperlukan untuk membina platform internet berkelajuan tinggi.

Syarikat IM3i dimiliki oleh Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) sebanyak 40 peratus, Pihak Berkuasa Wilayah Pemba­ngunan Iskandar (IRDA) (30 peratus) dan sebuah syarikat swasta Applied Business Technologies Sdn. Bhd. (ABT) (30 peratus).

Ketiga-tiga syarikat tersebut hari ini memeterai kerjasama strategik mereka menerusi anak sya­rikat masing-masing iaitu Di­gi­tal Indulgence Sdn. Bhd. (KPRJ), My Iskandar Sdn. Bhd. (IRDA) dan ABT Network (ABT) bagi membentuk IM3i.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pembentukan syarikat tersebut bertujuan mewujudkan platform digital untuk negeri ini dengan penyediaan internet berkelajuan tinggi sekali gus memperkenalkan digital ke Johor.

“Kita dan tubuh anak syarikat itu dan kerajaan negeri menerusi KPRJ dan IRDA dan syarikat swasta itu akan memulakan perancangan yang diperlukan termasuk mendapatkan lesen daripada kerajaan pusat dalam masa terdekat.

“Jadi, kita lakukan ini untuk kepentingan negeri Johor ter­utama bagi pelabur yang memerlukan internet lebih laju selain murah untuk menjalankan perniagaan mereka,” katanya kepada pemberita dalam Rumah Terbuka Aidilfitri KPRJ 2017 di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ, Abd. Razak Mohd. Yusoff.

Sementara itu, Abd. Razak berkata, kawasan pertama platform digital tersebut akan diper­kenalkan di Iskandar Malaysia yang kini mempunyai pelbagai infrastruktur sekali gus ia diya­kini mampu menyumbang kepada pertumbuhan di wilayah itu.

“Kita akan bentangkan perkara tersebut tidak lama lagi dan apa yang kita lakukan adalah menyedia­kan infrastruktur internet berkelajuan tinggi dan harganya juga lebih murah daripada yang ada ditawarkan sekarang,” katanya.