Johary Fitry Khaiduddin @ Joe Ipoh mempamerkan sebuah papan selaju yang dijual di kedai miliknya, The G Hard Skate Shop di Kompleks Sukan Bukit Kiara, Kuala Lumpur. UTUSAN/ Ghazali Basri

Lelaki berusia 44 tahun itu masih mampu melakukan trick-trick (helah) yang sukar setanding pemain jauh lebih muda.

Minat mendalam terhadap sukan itu juga telah membuka pintu rezeki buat beliau yang kini memiliki sebuah kedai menjual dan membaiki papan selaju iaitu The G-Hard Skate Shop di Kompleks Sukan, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Ikuti wawancara wartawan Utusan Malaysia, Akmyr Syahar Azwar bersama Joe Ipoh mengenai perniagaan papan selaju.

Boleh ceritakan sedikit tentang The G-Hard?

Joe Ipoh: Sebenarnya memang impian saya untuk buka kedai papan selaju. Ada satu hari, kawan saya tiba-tiba tawar untuk buka kedai di sini, walaupun dah hampir 10 tahun tempat ini kosong. Jadi bila ada tawaran, saya terus buka tanpa berfikir panjang sebab ini memang minat utama saya. Mungkin rezeki. Saya tidak pernah kerja. Saya pernah kerja di pejabat selama setahun, selepas itu saya berhenti dan hanya bermain sukan papan selaju. Alhamdulillah rezeki saya dalam sukan ini. Sekarang sudah lebih kurang dua tahun dua bulan kedai ini dibuka, ia mampu memperoleh sebanyak RM10,000 setiap bulan.

Apa kelebihan The G-Hard berbanding kedai lain?

Kelebihan utama The G-Hard ialah sebab ia terletak di taman skate. Jadi memang ramai anak muda meluangkan masa bermain papan selaju di sini. Bila ada masalah dengan papan longsor, mereka boleh datang kedai ini sebab kita ada tawar perkhidmatan untuk baiki. Jadi mudah bagi mereka. Bagi saya lokasi strategik adalah sangat penting dan banyak membantu prestasi kedai ini. Di sini juga kita memang fokus kepada barangan papan selaju termasuk papan, baju dan aksesori. Ada lebih kurang 20 jenama tempatan yang dijual, malah saya juga ada jenama papan selaju sendiri iaitu G-Hard.

Apa rancangan masa depan Joe Ipoh?

Selain daripada kedai ini, saya juga ada menawarkan perkhidmatan sesi pembelajaran skate, pengurusan acara ekstrim dan pertunjukan aksi ekstrim. Saya mempunyai lebih daripada 100 orang pelajar dalam pelbagai peringkat umur yang juga menyumbang kepada sumber pendapatan saya. Buat ketika ini, saya tiada perancangan untuk buka kedai seterusnya kerana saya ingin memberi tumpuan sepenuhnya kepada kedai ini dan juga pelajar-pelajar saya. Mungkin kalau ada rezeki nanti, apa salahnya. Tapi sekarang ini, tiada.

Bagaimana mula terlibat dalam sukan ini?

Dulu masa kecil, saya cuba semua jenis sukan termasuk bola, tenis, snuker dan basikal. Tapi, saya lebih cenderung kepada sukan yang agresif. Pertama kali saya mengenali sukan papan selaju ini ialah pada tahun 1989, ada satu iklan Milo di kaca televisyen yang memperagakan helah papan selaju. Daripada situ saya mula berminat seterusnya mengambil keputusan untuk menjual basikal BMX saya hanya untuk membeli sebuah papan selaju dari seorang kenalan. Waktu itu umur saya 16 tahun, agak lewat juga sebab dulu tiada papan selaju ini di Malaysia, nak tengok depan-depan memang payah.