JMM merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang telah dilantik khas sebagai wakil ASEAN bagi Pusat Hab Halal ke Lanzhou, China.

Presiden JMM, Datuk Azwanddin Hamzah berkata, langkah itu susulan kejayaan JMM setelah hampir dua tahun berunding dengan Zon Perdagangan Bebas Daerah Lanzhou Comprehensive Development Co. Ltd.

Katanya, hasil rundingan itu, peluang akan diberi kepada sebanyak 2,000 usahawan bumiputera dan pengusaha produk halal di Malaysia agar diberikan keutamaan dan insentif yang istimewa.

“JMM akan membawa delegasi Datuk Bandar Lanzhou, Niu Xiang Dong ke Kuala Lumpur dija­dualkan pada 10 hingga 15 April ini, antara usaha bagi memberi peluang perniagaan kepada usahawan bumiputera.

“Pelbagai rancangan disusun untuk delegasi antaranya membuat kunjungan pertemuan de­ngan beberapa agensi kerajaan berpotensi untuk memperkenalkan usahawan di bawah penyeliaan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini.

Usahawan-usahawan yang berminat untuk bersama menjayakan program ini boleh menghubungi talian 03-42883365.

Lanzhou merupakan bandar kedua terbesar di barat laut negara China dan mempunyai landasan kereta api bawah tanah serta rangkaian kereta api daripada enam baris kereta api bawah tanah sepanjang 207 kilometer.

Stesen Kereta Api Lanzhou ialah hab kereta api utama barat negara China, menghubungkan wilayah barat dan timur China seterusnya sebagai lokasi utama penghubung ke Eropah.

Ini menjadikan Lanzhou sebagai lokasi Pusat Perdagangan Bebas (FTZ) terkemuka menghubungkan China ke negara luar selain mempunyai penduduk beragama Islam seramai 20 juta.

JMM juga telah bekerjasama dengan syarikat ATS Global Network Sdn. Bhd. bagi menguruskan perkhidmatan penerbangan kargo bagi memudahkan usahawan hab halal ini membawa produk mereka terus ke Lanzhou.