Pengarah Strategi, Influential Brands, Jorge Rodriguez berkata, sebahagian daripada jenama-jenama Malaysia yang mendahului senarai terbabit adalah daripada industri barangan pengguna yang bergerak pantas (FMCG) seperti Julie’s Biscuits, Ah Huat White Coffee, Hup Seng serta industri makanan dan minuman (F&B) seperti The Manhattan Fish Market dan PappaRich.

Katanya, pengguna Singapura juga memilih AirAsia dalam industri syarikat penerbangan tambang murah, Royal Selangor (pewter), Resorts World (resort bersepadu), Hatten Group dan SP Setia (pe­maju hartanah) kerana jenama-jenama ini adalah yang terbaik di dalam industri mereka di rantau ini.

“Walaupun pengguna Asia didedahkan dengan banyak jenama antarabangsa ekoran daripada globalisasi, ada juga dalam kalangan mereka yang mencari dan tetap memilih jenama asal Asia. Pengguna mendapatkan jenama harian yang dikenali lama seperti Ah Huat White Coffee dan Julie’s Biscuit, sementara PappaRich yang menyajikan makanan-makanan tempatan yang digemari ramai dengan suasana yang lebih moden.

“Walaupun sudah lebih sedekad, syarikat penerbangan tambang murah pertama di rantau ini, AirAsia tetap meningkatkan kualiti produk dan servis mereka dengan memperkenalkan destinasi-destinasi menarik bagi pelanggannya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut kajian tersebut, Jenama Asia Terbaik yang digemari pengguna Singapura adalah jenama yang mempunyai hubungan rapat dengan negara asal mereka.

Kajian ke atas lebih daripada 4,000 pengguna di seluruh negara itu menyelidik jenama dari China, Malaysia, Indonesia, Hong Kong, Taiwan, Korea Selatan, Jepun dan Thailand.

Jenama serantau lain yang mengungguli pengguna di Singapura termasuklah Samsung, Watsons, Din Tai Fung, Toyota dan Uniqlo.

Jelasnya, kerana berjiran, syarikat-syarikat Malaysia melihat Singapura sebagai negara pertama untuk mengembangkan perniagaan mereka.

“Menembusi pasaran Singapura juga dapat mengubah dan membina jenama-jenama mereka ke peringkat antarabangsa dengan lebih strategik. Oleh kerana itu, jenama Malaysia meraih brand recall yang tinggi dalam kalangan pengguna di sini disebabkan pendedahan dan penjenamaan yang mantap,” ujarnya.

Dalam kajian tersebut, AirAsia mendapat undian tertinggi sebanyak 77.6 pe­ratus sebagai jenama paling ber­pengaruh Malaysia di Singapura.