Ketua Pegawai Eksekutif PIDM, Rafiz Azuan Abdullah berkata, pemahaman yang lebih mendalam akan dapat membantu melindungi hak pengguna kewangan dan meningkatkan keyakinan mereka terhadap sistem kewangan.

Katanya, kempen itu akan memfokuskan kepada kepen­tingan menabung terutamanya di bank ahli PIDM yang mana simpanan di bank akan dilin­dungi PIDM sebagai sebahagian daripada mandatnya.

“Kempen kesedaran kami yang lalu ditujukan kepada orang ramai menerusi iklan di pelbagai platform. Ia telah membantu memberikan ke­sedaran dan pemahaman asas tentang PIDM dan sistem perlindungan kami dalam kala­ngan orang ramai.

“Tetapi matlamat kami kali ini adalah untuk mengkhususkan program kami supaya orang ramai boleh memahami fungsi dan peranan PIDM dengan lebih mendalam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebuah trak bergerak akan membawa kempen Jelajah Komuniti PIDM ke komuniti sasaran di 10 destinasi utama serta 40 program mini yang bakal diadakan untuk orang ramai dari 4 Oktober hingga 7 November 2018.

Program itu termasuk ceramah mengenai pengurusan kewangan peribadi oleh mentor kewangan, Abang Abu Mekanik Wang dan demonstrasi keselamatan kebakaran.