Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Pengerusi JCorp berkata, prestasi kukuh itu diraih daripada per­olehan berjumlah RM5.31 bilion yang meningkat sebanyak 15.9 peratus berbanding RM4.58 bilion dalam tempoh sama pada 2014.

Menurutnya, dalam konteks sebagai sebuah entiti, perolehan JCorp turut mencatatkan pe­ningkatan sebanyak 181 peratus, iaitu sebanyak RM370 juta kepada RM574 juta berbanding RM204 juta yang direkodkan pada 2014.

“Kerajaan negeri gembira de­ngan prestasi JCorp dan berharap dapat terus memainkan peranan dalam memajukan negeri ini, sekali gus mahu ia turut memperkukuhkan penyertaan syarikat itu bukan sahaja di dalam negara, malah di peringkat serantau.

“Dengan pencapaian direkodkan itu, kerajaan negeri yakin dengan kemampuan JCorp untuk menjayakan pelbagai usaha yang dirancang selain jelas menunjukkan JCorp tidak berdepan masalah kewangan seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Kumpulan JCorp membuktikan ia mampu mencatatkan pening­katan perolehan memberangsangkan biarpun dalam keadaan ekonomi global tidak menentu ketika ini,” katanya selepas melancarkan La­poran Tahunan JCorp 2015 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.

Mohamed Khaled berkata, nilai aset JCorp berdasarkan harga pasaran syarikat tersenarai milik­nya hampir RM10 bilion berban­ding nilai buku RM6.4 bilion pada tahun kewangan 2015, bermakna nisbah liabiliti JCorp ialah 48 peratus.

Sementara itu, Kamaruzzaman berkata, kedudukan kewangan yang kukuh itu akan memberi keyakinan kepada JCorp untuk melunaskan semua obligasi kewangan serta per­siapan sebagai sumber bagi mengembangkan perniagaan kumpulan tersebut pada masa akan datang.

“Kedudukan yang kukuh serta ­prestasi cemerlang direkodkan, antaranya disumbangkan oleh pelaksanaan Pelan Transformasi Strategik Bisnes 2013-2022 dan kegiatan pelaburan dan peningkatan portfolio dijalankan secara agresif dan berhemah.

“Prestasi kewangan itu juga ialah cerminan kepada tahap daya tahan dan daya saing tinggi sebagai sebuah institusi pemacu ekonomi negeri yang turut berada dalam pasaran antarabangsa serta berdepan kesan persekitaran ekonomi global,” katanya.

Dalam pada itu, keputusan bagi memuktamadkan pelantikan anak syarikat kerajaan negeri, JCorp sebagai pihak berkuasa tem­patan (PBT) di Pengerang akan dibuat pada akhir tahun ini.

Pengerang, turut me­­nempatkan projek mega Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) yang bakal dijadikan hab mi­nyak dan gas serantau, kini me­ngalami pembangunan pesat memerlukan PBT yang mempunyai kepakaran untuk menerajuinya.