Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perancangan JCorp untuk me­nyertai era Industri 4.0 merupakan satu usaha berterusan yang digerakkan pihaknya.

Mohamed Khaled yang juga Pengerusi JCorp bagaima­napun membe­ritahu, syarikat milik kerajaan negeri itu tidak akan tergesa-gesa sebalik­nya akan mengikut perancangan ditetapkan.

“Penerokaan sektor Industri 4.0 ini akan dibuat mengikut keupayaan dan perancangan ditetapkan syarikat.

“JCorp merupakan instrumen terbaik kerajaan ne­geri dalam menerokai bidang tersebut, sekali gus dapat memberi manfaat kepada rakyat seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas me­nyempurnakan Majlis Pelancaran Laporan Tahunan Johor Corporation Bhd. di Hotel Puteri Pacific, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Md. Jais Sarday serta Pre­siden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.

Sementara itu, Kamaruzzaman mengumumkan JCorp telah merekodkan perolehan berjumlah RM5.579 bilion bagi kewa­ngan 2017, peningkatan 4.1 peratus berbanding perolehan tahun sebelumnya.

Katanya, kejayaan itu merupakan satu pencapaian yang memberangsangkan dalam keadaan ekonomi glo­bal yang tidak menentu sepanjang tahun lalu.

“Keuntungan selepas cukai bagi peringkat kumpulan pada 2017 turut mencatatkan peningkatan sebanyak 31 peratus iaitu sebanyak RM542 juta berbanding RM415 juta pada 2016.

“Daripada segi pemilikan aset, jumlah aset Kumpulan JCorp bagi 2017 adalah sebanyak RM21.795 bilion,” katanya.