Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, pelaksanaan projek tersebut khusus untuk membantu usahawan bumiputera di negeri ini.

Beliau berkata, projek tersebut turut mendapat kerjasama pihak SME Corporation Malaysia (SME Corp) dalam mengenal pasti usahawan yang berpotensi menjadi penyewa kilang berkenaan.

“Projek ini merupakan satu daripada tanggungjawab korporat kami dalam merealisasikan aspirasi kerajaan negeri untuk melahirkan lebih ramai usahawan berdaya saing.

“Projek ini secara tidak langsung akan membantu me­ningkatkan taraf ekonomi masyarakat setempat menerusi penyediaan peluang pekerjaan apabila beroperasi kelak,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Kilang IKS Bumiputera dan Majlis Berbuka Puasa anjuran JCorp di Kampung Pasir Gudang Baru, di sini semalam.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut dihadiri Pengerusi Jawa­tan­­kuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Koperasi dan Keusahawanan ne­geri, Ismail Mohamed dan Ketua Eksekutif SME Corp, Datuk Dr. Hafsah Hashim.

Projek yang dibina di atas tanah seluas 1.9 hektar itu dimulakan sejak awal tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun depan.

Selain 30 buah kilang, antara kemudahan yang turut disediakan termasuk pejabat pengurusan, kafeteria dan pondok kawalan.

Pada majlis tersebut, Mohamed Khaled turut menyaksikan penyerahan memorandum perjanjian (MoA) antara JCorp dan SME Corp serta penyerahan Surat Hasrat Tunjuk Minat antara Koperasi Iskandar Malaysia Berhad (IMCoop), Pusat Pembangunan Usahawan (EDC) dan JCorp Intrapreneur (M) Bhd. kepada SME Corp.

Selain majlis berbuka puasa yang disertai penduduk setempat, turut diadakan penyerahan sumbangan Ramadan kepada golongan asnaf oleh Waqaf An-Nur Corporation Berhad.