Sebab itu sekiranya anda akan perasan, sesuatu bahan pemasaran yang dilakukan oleh mana-mana jenama yang tidak ‘kuat’ akan membuatkan orang ramai menjadi keliru tentang mesej yang ingin disampaikan.

Apabila orang menjadi keliru, secara tidak langsung ia akan mengganggu proses mereka untuk mengingati jenama tadi dalam jangka masa yang lama.

Bahan-bahan pemasaran yang ditulis dan direka bentuk akan bergantung kepada strategi penjenamaan anda. Sekiranya ia ‘longgar’ maka mesej yang anda cuba sampaikan kepada orang ramai melalui bahan-bahan pemasaran juga akan ‘longgar’. Jadi, soalan-soalan ini perlu anda jawab terlebih dahulu untuk `mengetatkan’ semua skru yang ada.

Mengapa mereka perlu membeli daripada anda?

Soalan ini yang paling sukar sekali. Biasanya anda akan menjawab itu dan ini sebagai jawapan tetapi tidak sedar yang pemilik jenama lain juga mempunyai jawapan yang sama seperti anda. Ini tidak akan membantu.

Jadi, anda perlu mempunyai satu jawapan yang kukuh me­ngapa mereka perlu membeli daripada anda dan bukannya orang lain. Mesti ada sesuatu yang unik tentang diri anda atau produk anda yang tidak terdapat pada orang lain.

Adakah mereka akan berfikir dengan hati?

Penjenamaan yang baik bia­sanya akan membuatkan orang berfikir dengan emosi, iaitu dengan hati, sebelum membuat pembelian. Faktor membuat keputusan untuk membeli de­ngan hati amat penting kerana pembelian hampir pasti tidak akan berlaku sekiranya keputusan dibuat dengan fikiran.

Mengapa? Mudah, kerana setiap apa yang kita sendiri beli, biasanya akan dilakukan de­ngan emosi. Kita biasanya akan membeli sesuatu yang kita sebenarnya tidak perlu. Kita biasanya akan membeli sesuatu yang kemudiannya akan menyesal selepas beberapa ketika.

Sebab ini juga kadang-kadang kita sendiri pun tidak berapa ingat ke mana perginya semua duit kita. Ini disebabkan oleh naluri yang kuat pada ketika keputusan pembelian itu dilakukan. Dan naluri itu da­tangnya daripada hati.

Apakah yang akan membuatkan mereka memasukkan produk anda ke dalam rutin harian mereka?

Dahulu, perkhidmatan per­k­ongsian kereta Grab tidak pernah wujud dalam rutin harian kita. Ataupun membuat tempahan hotel tidak pernah kita lakukan melalui portal-portal seperti Booking.com, Agoda, Trivago dan juga Airbnb.

Dahulu biasanya anda akan memandu sendiri untuk ke sesuatu tempat, menaiki teksi ataupun pengangkutan awam lain. Tetapi sejak Grab diperke­nalkan kepada kita, kini kita menggunakannya hampir se­tiap masa. Malah sekiranya tiada Grab kini, rutin kita akan rosak terus pada hari itu.

Begitulah cara yang pa­ling efektif untuk mana-mana jenama kekal di dalam fikiran para pelanggan mereka, dengan menjadikan produk mereka sebahagian daripada rutin para pe­langgan mereka. Dengan kaedah yang sama, anda perlu memikirkan bagaimana para pengguna di luar sana boleh memasukkan produk atau perkhidmatan anda ke dalam rutin mereka.

Adakah ia akan membuatkan mereka risau tentang kehilangan sesuatu?

Dalam bahasa Inggeris, konsep ini dikenali sebagai a fear of loss. Para pengguna takut atau risau akan kehilangan sesuatu yang mereka sayang sekiranya tidak menggunakan produk atau per­khidmatan yang anda sediakan.

Anda perlu fikirkan apakah kekuatan dan kebaikan yang produk anda miliki sehingga mampu membuatkan para pengguna untuk tidak kehilang­an sesuatu benda. Anda juga perlu fikirkan benda apa yang mereka akan kehilangan itu.

Adakah ia akan menjanjikan sesuatu?

A promise to gain, konsep ini perlu untuk anda wujudkan agar mereka dijanjikan memperoleh sesuatu manfaat daripada produk anda.

Bagaimana untuk memberikan pengalaman manis kepada mereka?

Orang ramai akan datang lagi dan lagi sekiranya pengalaman mereka amat bermakna dan manis ketika menggunakan produk atau perkhidmatan anda. Bukan itu sahaja, mereka juga akan mengajak rakan-rakan dan sesiapa sahaja yang mereka kenali untuk menggunakan produk anda.

Keenam-enam ini adalah soa­lan psikologi yang perlu anda jawab dalam proses untuk bukan sahaja mengenali jenama anda, tetapi juga memastikan mesej yang hendak sampaikan yang dapat diterima dengan mudah. Apabila ia mudah diterima, mudah difahami dan mudah dalam segala-gala­nya, proses untuk mengingati jenama anda juga akan lebih mudah.