Soalan: Siapa anda sebelum berada di tahap ini?

MOHAMED GERALDEZ: Saya hidup dalam dunia penuh warna-warni dan dikelilingi komuniti yang sentiasa dihambat dengan keganasan jalanan seperti kumpulan gengster. Tetapi atas kehendak Dia (Allah), hidayah datang dalam sekelip mata ketika saya berusia 21 tahun dan kemudiannya membawa saya bermusafir ke Mauritannia, Syria dan Maghribi selama empat tahun. Di situlah saya belajar mendalami Islam dan belajar Bahasa Arab. Malah, pengalaman dua tahun tinggal di Gurun Sahara dan mempelajari Islam daripada tokoh agama, Murabit al Hajj banyak mengajar saya erti kehidupan. Selepas selesai ini semua, saya kembali semula ke AS dan kemudiannya memperoleh Ijazah Sarjana Perniagaan (MBA).

Bagaimana anda boleh terlibat dalam dunia perniagaan?

Secara dasarnya, saya terlibat dalam pelbagai jenis perniagaan daripada fesyen, kewangan, makanan hinggalah kepada teknologi. Saya melabur dalam syarikat dan juga memiliki firma perniagaan yang menguruskan pemasaran serta penjenamaan berpangkalan di London, United Kingdom. Selain mengambil bahagian dalam syarikat itu, saya juga me­labur dan mempunyai pegangan dalam beberapa syarikat ini. Tetapi, saya tidak memiliki apa-apa syarikat cuma dari segi pemilikan sahaja kerana sebagai pelabur ia adalah berbeza berbanding memiliki dan menguruskan sesebuah syarikat, saya ada pasukan yang me­nguruskannya. Fokus sekarang adalah firma strategi pemasaran, Dragonflyblack di London yang dijalankan dengan rakan kongsi saya, Prof. Jonathan A.J. Wilson. Saya terjun dalam dunia perniagaan hanya berbekalkan modal seba­nyak AS$10,000 (RM40,543.89) hasil simpanan dan kerja keras saya me­lakukan pelbagai pekerjaan.

Difahamkan Jaan J. begitu istimewa di hati anda, kenapa?

Jaan J. adalah syarikat tali leher Vegan yang saya usahakan 11 tahun lalu. Ia bermula apabila saya kerap memakai tali leher untuk menghadiri temu duga tetapi saya dapati fabriknya adalah sutera. Seperti yang kita tahu, Islam me­larang kaum lelaki untuk memakai apa-apa pakaian yang berasaskan sutera jadi saya mulakan perniagaan ini yang berpangkalan di California dan hanya berope­rasi secara dalam talian. Jaan J. amat istimewa di hati saya dan saya dedikasikan khas kepada seluruh umat Islam. Malah Jaan J. juga satu-satunya perniagaan saya yang tidak pernah gagal sebaliknya mampu membuat keuntungan hingga berjuta-juta dolar AS. Sebelum Jaan J., tiga perniaga­an saya me­nemui kegagalan.

Adakah anda berhasrat untuk memperkenalkan Jaan J. di Malaysia memandang­kan anda tidak asing lagi di negara ini?

Saya pernah cuba sekitar 2013 tetapi tidak ada yang berminat. Saya juga mendapati orang Islam di Malaysia lebih selesa memakai baju Melayu berbanding mengenakan tali leher. Jadi, perkara ini saya tidak cadangkan kepada sesiapa.

Jika anda berpeluang mencari syarikat yang bersesuaian untuk melabur di rantau ini, apakah terdapat kategori tertentu?

Saya mencari syarikat yang mendapat permintaan tinggi, mempunyai prestasi yang baik dan kemudiannya mematuhi keperluan syariah. Saya amat me­mentingkan syarikat yang tidak terlibat dalam aktiviti seperti pemerdagangan manusia, perniagaan alkohol, memastikan bahan mentah tidak terdedah ataupun berurusan dengan pembiayaan secara konvensional. Ini antara punca mengapa kewangan Islam amat penting terutama dalam menghadapi ekonomi halal global. Bagi saya mudah sahaja, saya tidak mahu membuang masa orang lain dan juga masa serta wang ringgit saya jika melabur dalam sesuatu yang tidak bernilai.

Ada yang berpendapat, untuk dapatkan ekonomi halal harus bermula daripada rangkaian bekalan yang halal iaitu bagaimana membiayai perniagaan dan bukannya tertumpu kepada produk semata-mata. Apa pandangan anda?

Harus bermula secara kecil-kecilan. Tiada kejayaan boleh dicapai dalam sekelip mata. Satu daripada perkara yang perlu diambil kira juga ialah memahami produk dan perkhidmatan yang ditawarkan. Antara sebab kebanyakan syarikat gagal kerana ia berkembang terlalu pantas dan kemudian tidak belajar tentang erti kegagalan, tidak tahu tentang rangkaian bekalan, pengurusan, sumber manusia dan juga tidak memahami kehendak teknologi.

Secara dasarnya, adakah konsep ekonomi halal itu mencapai satu tahap yang boleh kita banggakan sebagai orang Islam?

Belum lagi, kita hanya di peringkat permulaan. Ini kerana ramai teknokrat muslim yang menerajui teknologi tetapi nama mereka dipinggirkan kerana produk mereka bukan diklasifi­ka­sikan sebagai produk halal. Pemikiran sempit itu hendaklah dibuang daripada komuniti ekonomi halal kerana teknokrat muslim juga berhak diiktiraf dan mendapat penghargaan sebagai penyumbang kepada ekonomi halal. Jangan sempitkan pemahaman halal setakat produk pengguna sahaja kerana ini akan menyebabkan muslim lebih ter­pinggir. Saya berikan contoh Ja­wed Karim yang merupakan pen­-
gasas bersama YouTube, penghargaan dan pengiktirafan perlu diberikan kepada teknokrat ini kera­na sumbangan besarnya kepada masyarakat dunia dan ekonomi muslim secara tidak langsung.

Apakah nasihat anda kepada usahawan yang mahu ke peringkat global?

Pastikan anda cemerlang dahulu di negara anda baru anda boleh berkembang. Namun berbeza keadaan seperti penyanyi Malaysia, Yuna contohnya. Beliau berjaya di AS kerana konsep unik muziknya yang sealiran dengan citarasa penggiat seni dan hak asasi manusia tetapi namanya tidak diraikan di sini dengan meriah. Sebenarnya apa yang kita perlukan adalah lebih ramai wanita dalam bidang keusahawanan dan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kerana kita mahu masyarakat Islam mempunyai kehidupan yang lebih baik dan tidak berlaku diskriminasi.

Anda dilihat sebagai public fi­gure yang berjaya. Apakah perkara paling mencabar yang harus dilalui oleh seseorang?

Perkara paling mencabar ialah menguruskan minda dan psikologi anda sendiri. Kerana minda yang tertekan setiap masa akan membawa kepada kegagalan. Kadangkala apa yang anda rasakan ia adalah idea yang paling hebat tetapi akhirnya tiada siapa yang sudi membeli dan meletakkan wang ke atas idea hebat anda. Jadi, bagi sesiapa yang mahu memulakan perniagaan, kena uruskan minda anda terlebih dahulu.

Bagaimana dengan rahsia kejayaan anda? Bergaul dengan orang yang bijak. Itu sahaja!