Bekas Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, tanpa ketua, organisasi atau institusi ia boleh menyebabkan risiko yang tinggi terutamanya yang menguruskan wang rakyat.

“Tiada sebab mengapa pelantikan Pengerusi atau CEO yang baharu tidak boleh diumumkan sekali bersama dengan pengumuman persaraan atau peletakan jawatan.

“Pelantikan Pengerusi yang baharu adalah amat penting untuk mengelakkan ketidaktentuan serta membolehkan operasi dan urusan perniagaan organisasi seperti PNB berjalan lancar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdul Wahid bersara sebagai Pengerusi Kumpulan PNB pada 30 Jun lalu, dan jawatan tersebut diambil alih oleh bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Menurut Abdul Wahid, walaupun dengan notis yang singkat, PNB telah melaksanakan peralihan secara teratur dengan mengadakan mesyuarat Lembaga Pengarah khas pada 29 Jun lalu.

“Ini membolehkan pengumuman pelantikan Pengerusi PNB yang baharu dibuat serentak dengan persaraan saya.

“Saya berharap organisasi lain yang bakal menghadapi pertukaran Pengerusi atau CEO dapat melaksanakan perkara yang sama,” ujar beliau.

Abdul Wahid sehubungan itu berkata, beliau akan meluangkan masa bersama keluarga dan mengembara sedikit sebelum memikirkan kerjaya seterusnya.

“Saya sentiasa fokus kepada tugas semasa dan memandangkan persaraan saya mengejut, saya belum sempat memikirkan rancangan kerjaya selepas ini.

“Terima kasih sekali lagi atas segala sokongan, doa dan kata2 dorongan. Semoga Allah merahmati, melindungi dan memudahkan segala urusan kita semua,” tambah beliau..