Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, projek melibatkan pembinaan bangunan se­tinggi 20 tingkat bernilai RM144.2 juta itu dijangka menjadi mercu tanda baharu di bandar raya ini.

Menurutnya, projek tersebut dijadualkan siap sepenuhnya pada Ogos 2018.

“Ini adalah projek ketiga yang dibangunkan oleh Kumpulan Jakel selepas Jakel Square dan pangsapuri J. Dupion di ibu negara.

“Projek ini melibatkan pembinaan bangunan pejabat berkonsep moden, dilengkapi pelbagai kemudahan seperti ruang perbankan, surau dan dewan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pecah tanah projek berkenaan di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif BSN, Datuk Adinan Maning.

Mengulas lanjut, Mohamed Faroz memberitahu, pihaknya optimis projek tersebut akan menjadi pemangkin kepada beberapa pembangunan seterus­nya syarikat itu di Lembah Klang sekali gus menyumbang kepada manfaat masyarakat setempat.

Jelasnya, Kumpulan Jakel akan merancakkan usaha pembangun­an hartanahnya dengan projek rumah mampu milik sebanyak 4,460 unit di Setapak, Kuala Lumpur dan 5,500 unit di Puchong pada tahun depan.

“Pada masa depan, kita juga akan melancarkan satu lagi projek pembangunan bercampur terdiri daripada gedung beli-belah, apartment perkhidmatan di Seksyen 7 di sini di atas tanah seluas tiga hektar.

“Meskipun harga hartanah di pusat bandar raya adalah tinggi, Kumpulan Jakel menanam iltizam untuk menawarkan harga yang kompetitif bagi membantu meningkatkan pemilikan harta­nah dalam kalangan bumiputera,” jelasnya.