Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor (J-Biotech), Asman Shah Abd. Rahman berkata, pihaknya sedang merangka pelan induk projek tersebut yang dijangka siap sepenuhnya pada September tahun ini.

Menurutnya, Johor Pharmapolis yang akan diwujudkan dengan usahasama syarikat yang membangunkan Osong Medical Innovation Cluster, KBIO Health (KBIO) itu, dibangunkan dalam tempoh sehingga 10 tahun de­ngan fasa pertama bermula pada 2018.

“Kita masih memperincikan pelan induk Johor Pharmapolis termasuk keluasan tapak yang masih dalam perbincangan de­ngan lokasi yang dikenal pasti di kawasan utara Johor Bahru dan terletak berdekatan jajaran kereta api berkelajuan tinggi (HSR).

“Projek itu pula akan dijalankan secara berfasa dengan anggaran keluasan enam hingga lapan hektar membabitkan pembangunan termasuk fasiliti makmal, pusat bantuan penyelidikan dan pusat pentadbiran selain Pengerang juga akan menjadi sebahagian daripada pembangunan Johor Pharmapolis,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Pada 25 Oktober tahun lalu, J-Biotech dan KBIO, sebuah agensi kerajaan Korea Selatan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk memba­ngunkan hab bioperubatan yang kondusif dengan ekosistem lengkap, Johor Pharmapolis.

Tambahnya, nilai pelaburan Johor Pharmapolis dianggarkan melebihi RM1 bilion dengan beberapa syarikat antarabangsa dalam bidang bioperubatan dan biopharma akan menjadi sebahagian pengguna dan penghuni Johor Pharmapolis.

Asman Shah berkata, Osong Medical Innovation Cluster dipi­lih untuk dijadikan contoh kerana hab perubatan tersebut merupakan sebuah kluster perubatan berinovasi tinggi yang dibangunkan dan dikendalikan KBIO sejak 2005.

“Antara komponen penting adalah pusat penyelidikan bagi penghasilan ubat-ubatan, alatan perubatan, penempatan agensi berkaitan dan pusat akademik sekali gus kluster itu dipilih kerana mempunyai jalinan ekosistem lengkap.

“Selain itu, ia juga mempunyai tempat penyelidikan berteknologi tinggi dalam industri bioperubatan selain mampu membangun dan menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan peng­liba­tan industri kecil dan sederhana diperlukan industri,” katanya.