Menurut ICSB, pihaknya telah menghubungi TRX menyatakan bahawa pengisytiharan bahawa SSA itu luput tidak boleh diterima sama sekali.

Katanya, ICSB melakukan kajian terperinci dan teliti terhadap tanggungjawabnya dan juga TRX di bawah SSA itu termasuk proses atau peristiwa penting serta rekod yang berkaitan.

Jelas syarikat itu, hasil daripada kajian dilaksanakan, keputusan pembatalan SSA itu ternyata bercanggah dengan kemajuan SSA tersebut yang dilihat hampir selesai.

“ICSB mempunyai sumber kewangan mencukupi dan keupayaan untuk memastikan pelaksanaan yang lancar dalam memastikan pelaksanaan pembangunan Bandar Malaysia.

“Sehingga kini, ICSB telah memenuhi semua obligasi pembayaran yang diperlukan di bawah SSA terhadap TRX,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

SSA Bandar Malaysia dengan Iskandar Waterfront Holdings Sdn. Bhd. (IWH) dan China Railway Engineering Corperation (M) Sdn. Bhd. (CREC), membabitkan 60 peratus modal terbitan dan berbayar Bandar Malaysia Sdn. Bhd., kini terbatal berikutan kegagalan pihak pembeli menunaikan tanggungjawab pembayaran.

Menurut TRX, susulan pemeteraian SSA berkenaan, IWH dan CREC menyerahkan manfaat dan tanggungjawab kepada IWH CREC pada 21 Julai tahun lepas.

Syarikat itu berkata, biarpun lanjutan tempoh diberikan, namun IWH CREC terbukti gagal memenuhi tanggungjawab pembayaran sepertimana termaktub dalam syarat-syarat SSA yang ditandatangani pada 31 Disember 2015.

“Berikutan itu, SSA antara pihak terbabit terbatal berkuat kuasa serta-merta,” katanya.