Percayakah anda jika saya katakan bahawa untuk menjadi mahir meramal pergerakan turun naik saham serta membaca sentimen pasaran memerlukan masa hampir setiap hari melihat pergerakan harga saham?

“Sekiranya seseorang yang ingin mahir dalam berurus niaga saham secara aktif, membuat pemilihan kaunter yang betul dan sentiasa meraih keuntungan, perlu memperuntukkan masa hampir setiap hari. Bagaimana pula sekiranya seseorang itu mempunyai pekerjaan atau aktiviti lain yang menyukarkan mereka untuk melihat pergerakan saham sepanjang hari?”.

Maksud saya di sini sentiasa melihat pergerakan saham atau mengambiltahu perkembangan dunia saham bukan bererti perlu berada di depan skrin sepanjang hari.

Bukan bermaksud setiap hari membuat kajian saham secara terperinci dari segi analisis teknikal dan fundamental tetapi dengan melihat pergerakan saham secara istikhomah atau konsisten.

Sekiranya kita mempu­nyai masa yang banyak untuk mengikuti perkembangan pa­saran saham, itu lebih baik kerana ini mempercepatkan proses pembelajaran. Tetapi seperti yang kita sedia maklum, setiap orang mempunyai aktiviti dan tugas seharian.

Tidak ramai orang yang mempunyai banyak masa terluang melainkan jika bidang tugas mereka sememangnya berada di depan skrin melihat pergerakan saham sepanjang hari sepertimana tugas dealer dan remisier di syarikat broker saham.

Justeru, saya sebagai remisier di syarikat broker saham yang sepanjang hari melihat pergerakan saham akan memberikan garis panduan bagaimana memperuntukkan masa beberapa minit setiap hari untuk menjadi pedagang saham aktif atau untuk meraih keuntungan dalam masa singkat atau sederhana secara konsisten.

Juga, kita hanya perlu fokus pada beberapa perkara pen­ting sahaja dan tidak perlu membuat kajian terperinci lagi menyeluruh yang mengambil masa yang lama.

Dengan adanya penasihat dan pembimbing, ia akan mempercepatkan proses seseorang itu menjadi mahir dan juga me­ngurangkan kesilapan sekiranya seseorang itu belajar melalui pengalaman tanpa dibantu atau dibimbing.

Bilakah masa yang sesuai atau terbaik untuk membeli saham?

Sebagai yang sedia maklum, Bursa Malaysia mempunyai dua sesi iaitu pagi dan petang. Sesi pertama dibuka pada pukul 9 pagi sejajar dengan bursa saham negara-negara Asia se­perti Jepun, Singapura, China dan Jakarta yang mula dibuka antara 9 dan 10 pagi.

Sekiranya pasaran saham Amerika Syarikat pada ma­lamnya ditutup tinggi, se­cara automatik walaupun pasaran saham kita tidak 100 peratus bergantung pada mana-mana bursa asing, indeks pasaran saham kita juga akan dibuka naik di awal dagangan.

Walau bagaimanapun, pembaca dinasihatkan untuk mengkaji carta pergerakan indeks FBM KLCI serta lain-lain faktor untuk meramal sentimen pasaran semasa.

Pesanan beli dan jual saham boleh dilakukan dengan membuat pesanan beli sewaktu pasaran belum dibuka. Dalam erti kata lain, selepas pasaran ditutup, anda boleh memasukkan pesanan membeli dalam masa 24 jam cuma pesanan beli itu akan dipadankan semasa pasaran saham didagangkan.

Tetapi untuk mendapatkan harga yang sesuai, pesanan beli lebih baik dilakukan semasa pasaran saham diniagakan.

Kita boleh meletak harga yang sesuai kerana kadangkala pesanan yang dibuat semalam kemungkinan akan terus dipadankan sekiranya pasaran dibuka jatuh. Maka, untuk membuat pesanan beli lebih baik dibuat sewaktu pasaran diniagakan berbanding dengan pesanan jual.

Pesanan jual lebih baik dilakukan selepas waktu urus niaga pasaran saham telah ditutup sekiranya pada hari tersebut pesanan jual belum lagi dipadankan.

Sebagai contoh, kita membeli saham syarikat ABC pada harga RM1.10 dan harga telah pun naik menjadi RM1.20. Kita menjangkakan bahawa harga saham akan naik lagi keesokan hari. Justeru, kita tidak mele­takkan pesanan menjual de­ngan segera.

Walau bagaimanapun, pada malamnya, indeks pasaran saham Amerika Syarikat DJIA telah jatuh dengan banyak disebabkan adanya berita berbentuk negatif di pasaran dunia.

Maka, kita menjangkakan bahawa kemungkinan indeks pasaran saham akan terkesan maka kita pun meletakkan pesanan jual pada harga RM1.18 iaitu lebih rendah sedikit dari harga tutup semalam sebelum pasaran dibuka.

Tindakan kita meletakkan harga yang rendah sedikit dari harga penutup semalam di­sebabkan kita menjangkakan harga pembukaan pasaran di awal pagi akan dibuka rendah atau indeks pasaran saham jatuh sejajar kejatuhan harga-harga saham di papan Bursa Malaysia.

Kita sambung topik ini di minggu hadapan. Jangan lupa untuk mengikuti sambungannya.