Sebelum ini, Ismee merupakan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji dari 2006 hingga 2016. Beliau kini adalah Timbalan Pengerusi Pengarah Bukan Eksekutif Bukan Bebas di Lembaga TH Plantations Berhad.

Desas-desus peletakan jawatan FD Iskandar sudah berlarutan beberapa ketika, termasuk pelantikan Ismee bagi menggantikan beliau selepas disahkan sebagai ahli Lembaga Pengarah Media Prima pada 1 Jun lalu.

“Lembaga Pengarah mengalu-alukan pelantikan Ismee dan yakin di bawah kepimpinan beliau Media Prima akan meneruskan rekod prestasi yang kukuh dalam menyampaikan nilai kepada pemegang saham,” jelas syarikat itu dalam ke­nyataan di sini hari ini.

Ismee memulakan kerjaya sebagai Akauntan Pengurusan di Arab Malaysian Development Berhad dan kemudiannya berkhidmat dalam beberapa jawatan kepimpinan utama dengan kumpulan syarikat Shell di Malaysia termasuk sebagai Ketua Forex dan Perbankan di Shell Malaysia Ltd. dan Akauntan Kumpulan di Shell Malaysia Trading Sdn. Bhd.

Beliau juga berkhidmat di beberapa syarikat swasta yang terlibat dalam industri hartanah dan hospitaliti. Beliau pernah berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengarah di institusi perniagaan utama di Malaysia termasuk sebagai Pengerusi Syarikat Takaful Malaysia dari 2009-2015, Pengerusi TV AlHijrah dan Ahli Lembaga Pengarah di Johor Corporation, KFC Holdings Malaysia Bhd., 1Malaysia Development Berhad, BIMB Holdings Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, Pelikan International Corporation Berhad, Felda Global Ventures Berhad dan beberapa syarikat swasta yang lain.

FD Iskandar jelas Media Prima, mengambil keputusan menarik diri untuk memberi fokus terhadap tanggungjawab perniagaan dan persatuan. Beliau merupakan Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) dan Pengarah Urusan Kumpulan Glomac.

“Dalam menerima permintaan FD Iskandar untuk meletak jawatan, Lembaga Pengarah Media Prima merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan berterima kasih di atas kepimpinan, dedikasi dan sumbangan beliau terhadap Kumpulan yang mana beliau juga berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Risiko Kumpulan serta Jawatankuasa Pencalonan dan Ganjaran,” jelasnya.