Keyakinan itu ditegaskan oleh Ketua Eksekutifnya, Datuk Ismail Ibrahim berdasarkan kejayaan wilayah pembangunan yang dikenali sebagai Iskandar Malaysia itu menarik pelaburan secara purata sebanyak RM25 bilion setahun.

“Ada 10 tahun lagi. Kita amat optimis dan mencapai sasaran pelaburan setiap tahun, malah tahun lepas kita berjaya menarik pelaburan berjumlah lebih RM25 bilion. Tahun ini juga kita jangka dapat mencapai sasaran lebih RM25 bilion,’’ katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebelum itu, Ismail memberi taklimat mengenai peluang-peluang pelaburan dan potensi IRDA kepada kira-kira 20 orang ahli perniagaan Indonesia dan Malaysia di sini. Taklimat yang serupa juga pernah diadakan di Bandung, Medan, Surabaya, Pekanbaru, Semarang dan Jogjakarta.

Katanya, IRDA memberi tumpuan kepada pasaran Indonesia dalam usaha mengambil manfaat daripada usaha-usaha negara ASEAN untuk meningkatkan daya saing menjelang kewujudan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), akhir tahun ini.

Dalam pada itu, Ismail memberitahu, jumlah pelaburan di Iskandar Malaysia sejak Januari 2006 sehingga Jun lalu ialah sebanyak RM172 bilion dengan 65 peratus daripadanya adalah pelaburan tempatan.

Beliau berkata, bagi pelaburan asing, setakat ini Singapura masih menjadi pelabur terbesar dengan jumlah pelaburan sebanyak RM146 bilion, diikuti China (RM8 bilion) dan Amerika Syarikat sebanyak RM6 bilion.

“Walaupun Indonesia belum tersenarai sebagai 10 pelabur terbesar, tetapi kita yakin ahli perniagaan negara ini akan mengambil peluang pelaburan di Iskandar Malaysia untuk mengembangkan sayap perniagaan mereka,’’ ujarnya.

Katanya, setakat ini jumlah pelaburan Indonesia ialah RM1.2 bilion dan IRDA akan memperhebatkan lagi promosi Iskandar Malaysia ke seluruh bandar-bandar utama di Indonesia termasuk Yogjakarta, Surabaya dan Medan.

“Kita melihat Indonesia sebagai sangat bepotensi dan setakat ini kita menerima respon yang positif dan ada yang telah melabur, ada yang masih belum membuat keputusan dan ada yang sedang mendengar mengenai Iskandar Malaysia,’’ katanya.

Iskandar Malaysia adalah sebuah kawasan pembangunan metropolis bertaraf antarabangsa di kawasan seluas 2,300 kilometer persegi di selatan Johor. – UTUSAN