Ismail Ibrahim
Ismail Ibrahim

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim berkata, kerancakan pembangunan yang bersifat inklusif selain tarikan lain termasuk peluang pekerjaan menjadi penyumbang kepada tarikan tersebut.

Menurutnya, Iskandar Malaysia yang dibangunkan 10 tahun lalu, kini semakin pesat membangun dengan kemasukan pelbagai jenis pelaburan yang menyumbang kepada pertumbuhannya merangkumi pendapatan isi rumah, peluang pekerjaan dan po­pulasi.

“Dalam tempoh 10 tahun ini, Iskandar Malaysia berdepan pelbagai cabaran global, namun kita berjaya mengharunginya dan masih berada di landasan betul, malah kita optimis ia terus menjadi tumpuan pelabur baik domestik mahu pun antarabangsa.

“Pembangunan di wilayah itu turut berjaya menarik minat bukan sahaja rakyat negeri lain untuk menetap di sini, malah golongan ekspatriat profesional yang bekerja dalam pelbagai sektor juga semakin ramai memilih Iskandar Malaysia.

“Ia satu perkembangan yang baik kerana selalu kita dengar ramai berhijrah ke Singapura untuk bekerja tetapi kini Iskandar Malaysia juga menjadi pilihan,” katanya pada taklimat media berhubung perkembangan Iskandar Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya, pendapatan isi rumah di wilayah itu juga meningkat daripada RM4,000 kepada RM6,000 dalam tempoh tersebut.

Beliau berkata, pada tahun ini, dianggarkan populasi penduduk di Iskandar Malaysia mencecah 1.8 juta orang dan apabila sampai tempoh matang iaitu pada tahun 2025, populasi penduduk di wilayah berkenaan mampu mencecah tiga juta orang.

Dalam pada itu, ditanya pencapaian terbaik di Iskandar Malaysia dalam tempoh 10 tahun pembangunanya, Ismail memberitahu, antara lain, apabila wilayah itu berjaya mencapai objektif, terus kekal relevan dan mengikut pe­rancangan.