Pengarah Urusan Ireka, Datuk Lai Voon Hon berkata, kerjasama antara ketiga-tiga syarikat bakal mewujudkan pakatan strategik yang kukuh dengan menyediakan platform bagi pertumbuhan di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

Menurutnya, MoU yang terjalin akan memberi tumpuan kepasa pembangunan dan pelaburan gudang logistik, pusat pengedaran dan kemudahan hartanah berkaitan bagi menyokong pengembangan perniagaan STO Express di Malaysia dan Asia Tenggara.

“Selain itu, kerjasama ini juga akan melibatkan pelaburan dan bekalan infrastruktur serta bahan termasuk logistik, komersial dan syarikat tujuan khas di Malaysia dan Asia Tenggara.

“Dengan kepakaran CRRC UT dalam penyelesaian trafik bandar dan STO Express dalam dunia logistik, kami yakin kerjasama ini akan membuahkan hasil positif,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini hari ini.

CRRC UT yang mempunyai 8.48 peratus kepentingan ekuiti dalam Ireka merupakan unit di bawah Kumpulan CRRC manakala STO Express adalah syarikat perkhidmatan logistik bersepadu terbesar China yang memberi tumpuan kepada penghantaran kurier pantas. - UTUSAN ONLINE