Pengarah Urusan Inta Bina, Paul Lim Ooi Joo berkata, RM5 juta daripada jumlah hasil IPO akan digunakan sebagai perbelanjaan modal bagi melabur dalam Sistem Bangunan Berindustri (IBS) dan pelbagai mesin di samping menggantikan peralatan lama.

Katanya, RM9 juta atau pun 33.63 peratus akan digunakan untuk membayar pembiayaan bank, RM9.56 juta bagi perbelanjaan kewangan utama untuk operasi hari-ke-hari dan baki RM3.2 juta akan digunakan membiayai perbelanjaan penyenaraian.

“Pembelian beberapa peralatan dan mesin terutamanya sistem acuan aluminium mampu menyokong pertumbuhan syarikat termasuk dalam usaha menembusi segmen rumah mampu milik yang mempunyai potensi tinggi dan sejajar dengan saranan kerajaan.

“Pelaburan dalam sistem acuan aluminium juga mengurangkan perbelanjaan kos dan meningkatkan produktiviti sekali gus membolehkan kami menawarkan lebih banyak rumah mampu milik pada harga yang kompetitif,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan prospektus Inta Bina sempena penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Inta Bina, Lim Pang Kian; Timbalan Pengarah Urusan, Teo Hock Choon dan Pengarah Urusan Kewangan Korporat M&A Securities Sdn. Bhd., Datuk Bill Tan.

Inta Bina melalui anak syarikat milik penuhnya, Inta Bina Sdn. Bhd. merupakan kontraktor pembinaan yang telah beroperasi selama 25 tahun dan telah terlibat dalam pembinaan lebih 110 projek bangunan terutama di Lembah Klang dan Johor dengan nilai kontrak keseluruhan berjumlah lebih RM2 bilion.

Cadangan IPO Inta Bina melibatkan terbitan 107.05 juta saham baharu pada harga 25 sen sesaham dengan 26.76 juta ditawarkan kepada orang ramai secara pengundian.
Sebanyak 20.01 juta lagi ditawarkan kepada barisan pengarah dan pekerja yang layak manakala 53.53 juta bagi tawaran peruntukan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang terpilih. Baki saham baharu sebanyak 6.75 juta pula bagi tawaran peruntukan persendirian kepada pelabur terpilih.

Mengulas lanjut, Ooi Joo berkata, Inta Bina akan terus memberi tumpuan kepada sektor pembinaan hartanah dan bekerjasama dengan pemaju perumahan disegani seperti Eco World Development Group Berhad, Gamuda Berhad dan Mah Sing Group Berhad.

“Kami telah menyerahkan tender bagi sembilan projek pembinaan bernilai RM434.05 juta dalam suku pertama tahun ini bagi projek pembinaan kediaman dan bukan kediaman di Lembah Klang dan Johor.