Ketua Pegawai Perniagaan InstaReM, Pratik Gandhi berkata, pelanggan di Malaysia kini dapat menikmati pemindahan wang rentas sempadan yang efektif dan efisien ke lebih 60 buah negara di seluruh dunia.

Katanya, InstaReM akan menawarkan kadar tukaran mata wang asing pertengahan pasaran semasa dan mengenakan bayaran pada kadar 0.6 peratus berbanding dengan dua hingga tiga peratus yang dikenakan oleh bank dan pengendali pemindahan wang yang lain.

“Kami berharap dapat bekerjasama dengan pengguna dan institusi kewangan untuk menawarkan penyelesaian produk terbaik kepada pelanggan di Malaysia dan di seluruh dunia.

“Kami juga mahu meningkatkan kadar penggunaan teknologi inovasi ini di kedua-dua perniagaan serta pengguna individu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

InstaReM yang berpangkalan di Singapura merupakan penyedia pembayaran rentas sempadan terbesar di dunia, menjangkau 3.2 bilion pelanggan di negara maju dan membangun.

Sebelum ini, firma tersebut berjaya mengembangkan operasinya ke Kesatuan Eropah (EU) dengan pembukaan pejabat di Lithuania pada September 2017.

InstaReM juga akan memulakan operasi di India pada Disember 2017, selepas menerima kelulusan Reserve Bank of India (RBI). - UTUSAN ONLINE